Penunggang Motosikal Maut | Tunggang Melawan Arus

Seorang lelaki menemui ajal dalam keadaan ngeri apabila dirempuh sebuah kenderaan lain sebaik terpelanting atas jalan selepas motosikal ditunggangnya bertembung dalam kejadian berhampiran simpang sebuah pusat beli-belah di Permyjaya, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 11.30 malam apabila mangsa dikenali sebagai Kulin, 27, menunggang motosikal melawan arus bertembung sebuah kereta di simpang berkenaan menyebabkannya tercampak ke tengah jalan sebelum dilanggar sebuah kenderaan dari arah sama.

Maut dirempuh lawan arus

Rempuhan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala motosikal ditunggangnya diseret sejauh 30 meter.

Sebelum kejadian, mangsa baru selesai menghadiri majlis menyambut hari lahir anak saudaranya di Perumahan Quadruplex, Permyjaya sebelum ke sebuah kedai berhampiran untuk membeli barangan keperluan.

Pemandu kereta yang dikenali sebagai Ngu, 35, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari pusat bandar menuju Desa Indah, Permyjaya selepas bertemu rakan di sebuah kedai makan, jam 9 malam.

Katanya, sebaik tiba di simpang itu, dia tiba-tiba terkejut dengan kehadiran mangsa di hadapannya yang menunggang secara melawan arus menyebabkannya hampir merempuh mangsa.

“Ketika itu, saya terus menekan brek kecemasan sebaik melihat mangsa datang dari arah bertentangan. Saya cuba mengelak, namun motosikal ditunggang mangsa tersangkut pada bahagian tepi kereta sebelum terjatuh,” katanya.

“Akibatnya mangsa tercampak ke tengah jalan bersama motosikalnya sebelum sebuah kereta dari arah belakang gagal menekan brek lalu merempuhnya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Jurucakap Balai Polis Trafik Miri ketika dihubungi berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman dan kepala yang serius.

Facebook Comments
Close