Penduduk Persoal Hiasan Replika Keris Pada Tiang Lampu

Lebih 20 keluarga di Taman Mentakab, Jalan Pekeliling, di sini, mempersoalkan tindakan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) memasang tiang lampu yang mempunyai replika keris tajam menghala ke kediaman mereka.

Seorang penduduk, Chong Ting Mei, 73, berkata, bagi masyarakat Cina, jika ada sesuatu benda tajam dihalakan ke rumah atau kepada mereka akan membawa maksud tidak baik.

Penduduk tidak selesa replika keris pada tiang lampu jalan

Menurutnya, keadaan itu sudah berlanjutan lebih sebulan lalu, malah aduan kepada pemimpin tempatan juga sudah dibuat, namun masih tiada respons daripada pihak berkenaan.

“Perkara ini sangat sensitif kepada kami yang berketurunan Cina. Tujuan diletakkan replika keris pada tiang lampu jalan itu masih belum terjawab.

“Jika tidak ada sebab yang penting, kami gesa supaya replika keris itu diturunkan segera,” katanya.

Sementara itu, wakil DAP Mentakab yang hadir ke rumah penduduk semalam turut mempersoalkan tujuan pihak berkuasa tempatan (PBT) memasang replika keris pada lampu jalan di taman perumahan berkenaan.

Lai Chee Ming berkata, pihaknya sudah mendapatkan tandatangan penghuni Cina di kawasan itu untuk diserahkan kepada MPT dalam masa terdekat.

Menurutnya, pihaknya akan menyediakan memorandum bantahan kepada MPT mewakili penduduk bagi menangani isu tersebut secepat mungkin.

“Kami juga sependapat dengan penduduk supaya MPT tukar replika keris itu dengan sesuatu yang lain dan tidak tajam jika mereka berhasrat mengekalkan hiasan pada tiang lampu berkenaan,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close