Pekerja Hampir Ditikam Suspek Curi Pek Minuman

“Mujur pekerja saya dapat mengelak tikaman itu jika tidak dia pasti cedera apabila lelaki terbabit yang kami tangkap selepas mencuri pek minuman coklat cuba menghunus pisau bagi melepaskan diri,” kata pengurus pasar raya, Ezmin Rashid, 29, menceritakan kejadian cubaan dua lelaki melarikan barangan runcit dari premis itu di Taman Medan Jaya, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, Ezmin memberkas seorang daripada lelaki terbabit dengan bantuan pekerjanya sebelum suspek yang berang bertindak agresif dengan menghunus pisau ke arah mereka.

Elak tikaman pencuri minuman

Menurutnya, ketika kejadian, dia bertugas di kaunter pasar raya berhampiran pintu utama apabila seorang lelaki yang mulanya disangka pelanggan membawa lari bakul mengandungi empat pek serbuk minuman coklat.

“Sebelum kejadian, lelaki terbabit masuk dalam pasar raya dan mengambil pek serbuk minuman coklat itu dari rak berhampiran kaunter.

“Saya mengesyaki sesuatu tidak kena mengenai lelaki terbabit dan memerhatikan gerak-gerinya berikutan dia berkelakuan mencurigakan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Ezmin berkata, secara tiba-tiba lelaki terbabit berlari keluar dari pasar raya sambil membawa barangan berkenaan tanpa membuat pembayaran menyebabkan dia mengejar lelaki itu.

“Lelaki terbabit berlari ke arah seorang rakannya yang sedia menunggu atas motosikal di luar pasar raya. Tetapi, saya sempat menarik lelaki itu sehingga dia terjatuh. “Kami bergelut sebelum pekerja saya datang membantu dan menahan lelaki terbabit, manakala rakannya melarikan diri,” katanya. Katanya, lelaki terbabit dibawa ke dalam stor dan seorang pekerja pasar raya diarahkan supaya mengawasi lelaki terbabit.

“Ketika saya menghubungi polis, lelaki terbabit tiba-tiba bertindak ganas apabila mencapai pisau dalam stor dan cuba untuk menikam pekerja saya.

“Namun, pekerja saya dapat mengelak dan bertindak pantas dengan merampas kembali pisau itu sebelum kedua-duanya bergelut menyebabkan saya segera membantu,” katanya.

Beliau berkata, lelaki terbabit diserahkan kepada anggota polis peronda (MPV) yang tiba, manakala pek serbuk minuman coklat dan senjata digunakan turut diserahkan sebagai bahan bukti.

“Saya difahamkan, lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau pelbagai kes dan dia dikatakan baru saja dibebaskan dari tahanan penjara.

“Ini kali ketujuh saya menangkap pencuri barangan runcit di pasar raya ini. Walaupun, pihak pasar raya meningkatkan keselamatan seperti memasang kamera litar tertutup (CCTV), tetapi jenayah masih berleluasa,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close