Menyamar Sebagai Pegawai Kastam | Cuba Tipu Penjual Lemang

Seorang lelaki berusia 30-an, yang menyamar sebagai pegawai Kastam ditahan orang ramai ketika cuba menipu pengusaha lemang di sini, kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, suspek pada mulanya kelihatan merayau sekitar kawasan membakar lemang sebelum memperkenalkan dirinya sebagai pegawai Kastam.

Penjual lemang nyaris ditipu

Suspek kemudiannya memaklumkan pemilik premis menjual lemang bahawa dia mempunyai bekalan beras pulut dan mahu dijual dengan harga lebih rendah berbanding harga pasaran.

Bagaimanapun, suspek meminta pemilik premis membayar wang pendahuluandan akan menghantar beras pulut dijanjikan pada sebelah malam.

Perlakuan suspek yang mencurigakan itu menarik perhatian seorang penduduk tempatan yang berada di tempat kejadian sebelum menegur suspek.

“Suspek kelihatan cemas apabila ditegur seorang lelaki yang mengenali dirinya. Menurut lelaki itu, suspek pernah menipu RM32,000 milik warisnya sebelum ini.

“Orang ramai kemudiannya memaklumkan kejadianitu kepada anggota polis komuniti, Taman Kenari sebelum dibawa ke Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan penipuan dilakukan segelintir individu tidak bertanggungjawab dengan mengaku diri mereka sebagai penjawat awam.

Katanya, sehingga kini beberapa kes penipuan dilaporkan berlaku dan ia melibatkan modus operandi yang sama, di mana suspek menyamar pegawai kerajaan.

“Peniaga lemang terlibat sudah membuat laporan di Balai Polis Kulim. Saya berharap orang ramai jangan mudah terpengaruh dengan mana-mana individu apabila mereka mengaku diri mereka sebagai penjawat awam,” katanya.

Facebook Comments
Close