Kereta Terbakar Gara-gara Percikan Mercun

Seorang pesara tentera mengalami kerugian lebih RM50,000 apabila kereta miliknya terbakar selepas terkena percikan mercun yang dimainkan sekumpulan kanak-kanak.

Kejadian pada jam 6 petang Ahad lalu itu turut menimbulkan perasaan geram kepada pemilik kereta Toyota Unser, Rosli Che Ros, 46, apabila waris kepada kanak-kanak yang dikesan terlibat enggan mengakui kesilapan anak masing-masing.

Terkena percikan mercun

Rosli yang tinggal di tingkat empat flat taman itu berkata, ketika kejadian dia bersama keluarganya sedang membuat persiapan untuk berbuka puasa.

“Sejam sebelum kejadian, saya melarang sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain bahan larangan berdekatan garaj yang menempatkan kereta saya itu, namun tidak dihiraukan mereka.

“Selang beberapa minit kemudian dimaklumkan jiran, kereta milik saya terbakar dipercayai terkena percikan mercun sebelum bergegas turun untuk melihatnya dan terkejut mendapati kereta kesayangan hampir 70 peratus terbakar,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun tindakan pantas beberapa jiran yang memadam api dari merebak sebelum ketibaan pihak bomba kemudiannya berjaya menghalang kereta lain dalam garaj bersebelahan dari turut terbakar dan rosak.

“Saya terkilan apabila tidak mendapat respon positif dari waris kanak-kanak terlibat, sebaliknya semua mereka lepas tangan dan enggan bertanggungjawab di atas perbuatan anak masing-masing.

“Demi untuk mencari keadilan, saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Seberang Jaya kemudiannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah yang dihubungi mengesahkan kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut kerana pihaknya masih menjalankan siasatan.

“Kita menahan empat kanak-kanak di bawah umur yang dipercayai terlibat bermain bunga api dan mercun di lokasi terbabit bersama seorang penjual bunga api di flat berkenaan untuk disiasat.

“Bagaimanapun disebabkan kanak-kanak itu di bawah umur, kita hanya mengambil keterangan sementara menantikan bentuk tindakan lain selepas pegawai penyiasat melengkapkan kertas siasatannya,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close