Kejam! Remaja Tendang Dada Bapa & Ugut Ibu

Tiada hati perut. Tanpa belas kasihan, seorang anak yang baru berusia 15 tahun, sanggup menendang dada bapanya yang sakit kerana tidak memberi wang seperti yang diminta.

Lebih menyedihkan, remaja yang sudah tidak bersekolah itu kerap bertindak kasar terhadap kedua ibu bapanya, sehingga menyebabkan ibunya tidak tahan, lalu membuat laporan polis.

Tendang dada bapa, ugut ibu

Bagaimanapun, tindakan tidak berperikemanusiaan remaja itu akhirnya terbalas apabila dia didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.

Berdasarkan pertuduhan, pada 19 Ogos lalu, kira-kira jam 4.30 petang, bertempat di rumah tidak bernombor di Kampung Jerong Seberang, Wakaf Tapai, Marang, tertuduh dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan bahawa bencana akan berlaku ke atas Maimunah Mat Ali, 44.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat.

Tertuduh yang berpakaian baju T kelabu itu bagaimanapun mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim, manakala pertuduhan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mahathir Mohd Yusof.

Majistret Abdul Hayyi kemudiannya menetapkan 28 Ogos depan sebagai tarikh sebut semula kes di Mahkamah Majistret Marang dan turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.

Berdasarkan fakta kes, remaja yang juga merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu telah bertindak kasar dengan menendang dada bapanya, dalam satu kejadian 18 Ogos lalu, kira-kira jam 12.30 malam.

Keesokannya, kira-kira 4.30 petang, ketika berada di rumah mereka di Kampung Jerong Seberang di Marang, tertuduh telah meminta wang daripada ibunya, Maimunah Mat Ali, 44, sebanyak RM20.

Bagaimanapun, ibunya tidak memberikan wang sambil memberitahu, tiada wang. Dia kemudiannya meminta lagi wang sebanyak RM40 dengan alasan untuk membaiki motosikal.

Apabila tidak diberikan wang, tertuduh bertindak mengambil sebilah parang lalu mengugut hendak menetak motosikalnya. Tidak tahan dengan sikap tertuduh, ibunya kemudian membuat laporan polis.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close