Kantoi Pertama Kali Curi Besi | Dibelasah Hingga Patah Kaki

Tindakan seorang lelaki menyertai dua rakannya dalam kegiatan mencuri besi di sebuah kawasan perindustrian di Krubong, semalam membawa padah apabila dia tertangkap.

Lebih malang, lelaki berusia 30 tahun itu yang dikatakan baru kali pertama menyertai ‘projek’ rakannya itu dibelasah beberapa pekerja kawasan berkenaan selepas dia terjatuh dari motosikal.

Dibelasah kerana curi besi

Difahamkan, motosikal yang digunakan lelaki berkenaan juga dipercayai dicuri.

Dalam kejadian kira-kira 10.45 pagi itu, lelaki berkenaan dicekup beberapa pekerja di kawasan simpanan besi dan batu konkrit milik sebuah syarikat tempatan.

Penyelia stor syarikat terbabit, Danial Chi, 35, berkata, ketika dicekup, ketiga-tiga pencuri berkenaan menaiki dua motosikal sedang mengambil besi untuk dibawa keluar dari kawasan berkenaan yang terletak bersebelahan jirat Cina.

“Pekerja saya terserempak dengan mereka lalu menyergah suspek yang ketika itu hendak keluar dari pagar.

Salah seorang daripada mereka terkejut dan terjatuh dari motosikal, sebelum dia dibelasah sehingga patah kaki kanan,” katanya.

Manakala, katanya, dua lagi suspek berjaya melarikan diri.

Menurut Danial, besi yang masih boleh digunakan dan disimpan di kawasan itu sering hilang, namun pihaknya belum pernah dapat menangkap pencuri sehinggalah kejadian semalam.

Sementara itu, ketika ditemui Sinar Harian, lelaki malang terbabit berkata, dia melakukan kerja berkenaan untuk menambah pendapatan.

Dia yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak kini menetap di Batu Berendam dan bekerja sebagai pembantu di sebuah bengkel kereta milik abangnya.

Pemeriksaan polis terhadap beg yang berada pada motosikal itu turut menemui peralatan termasuk parang dipercayai untuk melakukan kegiatan jenayah.

Suspek dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut. Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman mengesahkan kejadian.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close