Kanak-kanak 4 Tahun Terselamat Dari Rentung

Seorang kanak-kanak, Mohd Daniel Mohd Khairul Hisham, 4, terselamat apabila kenderaan Isuzu D-max milik bapanya terbakar semalam.

Ibunya, Madiana Mohamad, 25, berkata, ketika kejadian, anaknya sempat keluar dari kenderaan yang kemudiannya berasap dan terbakar secara mengejut.

Kanak-kanak hampir terbakar

Menurutnya, ketika kejadian, suaminya, Mohd Khairul Hisham Shafie, 27, menghidupkan kenderaan untuk membeli ais di Semerak, Pasir Puteh.

“Suami sering membawa anak bersama ketika keluar. Apabila enjin kereta dihidupkan, lori ais tiba dan suami keluar dari kereta untuk mendapatkan bekalan ais dari lori tersebut.

“Beberapa minit selepas itu, kami mula menyedari kereta di bahagian pemandu mengeluarkan asap.

“Saya bergegas mencari anak di dalam kereta tetapi tidak dia tiada di dalam kereta.

“Kami menjumpainya menyorok di belakang pokok bunga di depan rumah.

“Mujurlah dia sempat keluar dari kereta, mungkin dia terkejut melihat kereta berasap sebab itulah dia bersembunyi di sebalik pokok,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sejurus kemudian katanya, orang ramai yang melihat kejadian segera membuat panggilan kepada pihak bomba, memandangkan telefon bimbit mereka diletakkan dalam kenderaan tersebut.

Madiana berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 12 tengah hari itu ketika dia baru sahaja membuka gerai untuk berniaga.

Selain kehilangan telefon bimbit, beberapa dokumen pengenalan diri turut musnah dalam kejadian tersebut.

“Biasanya kenderaan itu diparkir di bawah garaj depan rumah.

“Hari ini suami letakkannya di tempat lapang depan rumah.

“Jika tidak mungkin rumah kami juga akan terbakar akibat kejadian ini.

“Kami tidak tahu punca yang menyebabkan kebakaran itu sedangkan kenderaan ini baru sahaja tiga tahun dibeli oleh bapa untuk kegunaan kami berniaga,” katanya.

Manakala, pemilik kenderaan, Shafie Ismail, 52, berkata, dia hanya mengetahui tentang kejadian itu apabila dimaklumkan anaknya.

“Saya berada di pantai menguruskan chalet ketika kejadian berlaku.

“Saya hanya dimaklumkan oleh anak beberapa minit kemudian.

“Sebelum ini ia tidak pernah mengalami kerosakan tetapi saya pasrah dengan kejadian yang menimpa,” katanya.

Facebook Comments
Close