Harga Ikan Dijangka Melambung?

Beberapa peniaga ikan di Pekan Sehari Pendang sudah bersiap sedia dengan kenaikan harga ikan yang dijangka pada, Jumaat ini.

Peniaga, Nazri Che Me, 36, berkata, rata-rata peniaga dimaklumkan beberapa hari menjelang perayaan harga ikan terutamanya kembung akan naik kira-kira 80 peratus.

Harga ikan dijangka melambung

Menurutnya, walaupun ketika ini, ikan kembung kurang mendapat sambutan tetapi ia dijangka melambung berbanding ikan lain kerana ramai pelanggan akan membeli ikan jenis itu bagi menyediakan juadah laksa pada Aidilfitri.

“Sekarang ikan kembung dijual pada harga RM4 hingga RM3 sekilogram tetapi tidak laku menyebabkan peniaga melelong pada harga RM2 sekilogram. Namun, dijangka Jumaat ini harga ikan akan dijual kira-kira RM8 sekilogram.

“Sudah menjadi kebiasaan buat peniaga menjangka harga ikan akan naik beberapa hari menjelang perayaan kerana permintaan tinggi dan ketika itu peniaga boleh mengaut sedikit keuntungan,” katanya.

Nazri berkata, ramai nelayan juga tidak turut ke laut kerana menyambut perayaan menyebabkan bekalan ikan berkurangan.

“Bagi kami sebagai peniaga, apabila difahamkan nelayan mengenai perkara itu, kami hanya mampu menyediakan modal tinggi sahaja kerana ketika itu kami akan menjual ikan dalam kuantiti yang banyak,” katanya.

Peniaga, Mohd Fauzi Ramli, 43, turut mengakui buat masa ini jualan ikan kembung kurang mendapat sambutan namun, akan melambung menjelang perayaan nanti.

Menurutnya, rata-rata peniaga di Pasar Sehari juga tidak menyimpan bekalan ikan sebelum Jumaat ini kerana ikan kembung tidak tahan lama dan peniaga di situ akan menjual ikan segar.

“Peniaga tidak akan berbuat begitu kerana cara pembekuan ikan memerlukan kos tinggi dan bimbang berlaku risiko kerosakan dan terpaksa menanggung kerugian tinggi.

“Buat masa ini berlaku lambakan ikan kembung yang dijual di merata-rata dengan harga murah tetapi saya nasihatkan jika pembeli tidak mahu membeli dengan harga tinggi Jumaat ini boleh membeli ikan dari sekarang dan simpan di tempat pembekuan,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close