Gaduh Di Kedai Makan | 4 Cedera

Empat orang tercedera dalam pergaduhan yang melibatkan 19 lelaki di sebuah kedai makan di hadapan Sekolah Kebangsaan Long Ghafar di sini pada malam empat Syawal lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kejadian yang berlaku pada jam 3 pagi itu didakwa bermula apabila seramai sembilan lelaki daripada satu kumpulan (A) menegur perbuatan salah seorang kumpulan yang lain (B) yang terdiri daripada 10 ahlinya.

Gaduh: 4 cedera, 7 ditahan

“Teguran itu dibuat apabila salah seorang lelaki dari kumpulan B meletakkan kaki di atas kerusi yang diduduki oleh salah seorang ahli kumpulan A.

Akibat daripada perbuatan tersebut pemilik kepada kedai makan itu telah menegur supaya tidak bergaduh di dalam kedai tersebut dan jika ingin melakukannya biarlah di luar kedai,” katanya.

Menurutnya, mengeruhkan keadaan lagi apabila pemilik kedai tersebut dikatakan mengeluarkan sebilah kelewang dan diambil oleh salah seorang ahli kumpulan B sehingga menimbulkan kekecohan.

Beliau berkata, pada masa yang sama terdapat empat lagi kelewang dikeluarkan oleh ahli kumpulan B sehingga menyebabkan ahli kumpulan A bertindak mempertahankan diri menggunakan kerusi yang terdapat di kedai makan itu.

Azham berkata, disebabkan kejadian tersebut, tiga ahli kumpulan A dan pemilik kedai makan mengalami kecederaan sehinggakan ada di antara mereka yang mengalami kecederaan di lengan, putus jari telunjuk kanan dan jari manis hampir terkulai.

“Kesemua mereka yang berusia 20an itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), manakala pemilik kedai makan pula cedera di kepala, tangan, bahu dan betis.

“Kejadian itu berlarutan apabila ahli kumpulan B turut memecahkan cermin dapur serta menyelerakkan barangan di dalam kedai tersebut dan mengambil sebuah komputer riba milik pemilik kedai makan itu,” katanya.

Menurutnya, setakat ini seramai tujuh termasuk pemilik kedai makan itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, menurut saksi kejadian yang dikenali sebagai Osman, 35, berkata, semasa kejadian berlaku dia sedang berehat berhampiran dengan kedai makan tersebut.

“Tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi bising dan ternampak seorang lelaki yang jarinya terputus lari dan kemudian datang sebuah kereta mengambilnya. Beberapa minit kemudian datang sebuah kereta lagi mengambil seorang lelaki yang tangannya cedera,” katanya.

Dia berkata, tidak lama selepas itu, empat buah kereta datang dan mereka yang menaiki kereta tersebut membawa sikul dan memecahkan barangan di dalam kedai makan tersebut.

Facebook Comments
Close