Filem Tanda Putera Akan Diboikot?

BELUM pun lagi ditayangkan, filem Tanda Putera terus diduga. Sudahlah tayangan ditunda pada tarikh yang belum dapat dipastikan.

Kini, Pakatan Rakyat (PR) pula mendakwa filem tersebut akan ‘memanaskan’ lagi semangat perkauman di negara ini, tidak menyatukan rakyat dan akan lebih memburukkan sentimen perkauman.

Tanda Putera diboikot?

Namun bagi pembikin filem tersebut, Datin Paduka Shuhaimi Baba atau Shumi, beliau enggan mengambil pusing mengenai perkara itu. Punya pendirian tersendiri, Shumi bagaimanapun tetap mempertahankan filemnya itu.

“Saya tak rasa filem ini akan mencetuskan kontroversi. Mereka (PR) belum menontonnya lagi,” tegas Shumi yang enggan mengulas lanjut.

Bagaimanapun, dalam sidang media sebelum ini, Shumi pernah berkata, beliau sudah menjemput beberapa wakil politik dari Barisan Nasional dan PR untuk menonton filemnya itu.

“Selepas menonton filem ini, mereka tidak merasakan ia mempunyai sentimen perkauman,” kata Shumi ketika itu.

Tanda Putera dibintangi barisan pelakon hebat, antaranya Rusdi Ramli (Tun Abdul Razak), Zizan Nin (Tun Dr Ismail), Faezah Elai (Toh Puan Rahah) dan Linda Hashim (Toh Puan Norashikin).

Ia mengisahkan persahabatan akrab antara Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr Ismail, yang terpaksa berahsia dan mengetepikan masalah kesihatan masing-masing bagi memulihkan keadaan negara ekoran peristiwa hitam 13 Mei 1969.

Filem hasil kerjasama Pesona Pictures dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) serta Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC) ini menelan kos sebanyak RM4.8 juta termasuk promosi.

Facebook Comments
Close