Empat Penyamun Berputih Mata

Malang berganda bagi empat lelaki apabila mereka bukan saja gagal menyamun seorang wanita di Taman Paling Jaya, Semenyih, di sini, malah mereka kemudian ditahan polis kurang dua jam selepas kejadian itu di Plaza Tol Sungai Ramal di sini, awal pagi kelmarin.

Semua mereka yang menaiki kereta Perodua Myvi kelabu ditahan di kawasan plaza tol berkenaan kira-kira jam 2 pagi oleh sepasukan polis selepas menerima laporan daripada mangsa berusia 45 tahun yang juga peniaga sebuah kedai makanan.

4 berputih mata

Menceritakan semula kejadian, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, ketika mangsa ingin bersiap untuk pulang selepas selesai berniaga, dia didatangi sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki empat lelaki kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Katanya, dua daripada suspek kemudian keluar darikereta dan menghampiri kereta yang dinaiki mangsa sebelum memecahkan cermin tingkap kereta mangsa dipercayai untuk menyamun barangan berharga miliknya.

Beliau berkata, terkejut dengan tindakan itu dan bimbang akan dicederakan suspek, mangsa kemudian segera memecut keretanya ke arah jalan utama untuk menyelamatkan diri.

Difahamkan, ketika kejadian beberapa orang ahli keluarga mangsa juga berada di dalam kereta berkenaan. Beliau berkata, sebaik berjaya melarikan diri, mangsa segera membuat laporan di balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya daripada pihak berkuasa.

Mangsa dan ahli keluarganya bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan barangan berharga dan wang tunai tidak berjaya dilarikan suspek.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan polis kemudian menjalankan operasi mengesan suspek sebelum terserempak dengan sebuah kereta yang dinaiki empat lelaki dalam keadaan mencurigakan di Plaza Tol Sungai Ramal kira-kira jam 2 pagi.

“Sebaik berjaya memintas kereta berkenaan, polis kemudian berjaya menahan kesemua suspek dan hasil pemeriksaan polis menemui dua bilah parang, pisau dan besi kuku kambing,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Menurutnya, polis percaya suspek yang berusia antara 19 dan 26 tahun yang berasal dari Shah Alam dan Klang itu mempunyai kaitan dengan beberapa kes samun yang dilaporkan sebelum ini namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

Siasatan awal polis juga mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes curi.

Facebook Comments
Close