Derita Ibu Anak Koma 13 Tahun

Hati ibu mana yang tidak tersentuh melihat anaknya terlantar tidak sedarkan diri sejak 13 tahun lalu.

Dalam kepayahan dan kesedihan itu, Maziah Jusoh, 48, sehingga kini tetap tabah menjaga anak sulungnya, Siti Suzaini Jailani, 20, yang koma sejak tahun 1999.

Menurutnya, Siti Suzaini yang lebih dikenali sebagai Along dalam kalangan keluarganya, koma akibat dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan untuk mengaji berdekatan kediamannya di ketika berusia 7 tahun.

Anak koma selama 13 tahun

“Walaupun sudah lebih 13 tahun berlalu, saya tetap juga menjalankan tanggungjawab sebagai ibu untuk menjaga Along dengan hanya bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja sendiri.

“Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima sebanyak RM300 sebulan tidak mencukupi memandangkan kami perlukan lebih RM1,000 untuk perbelanjaan bulanan Along termasuklah membeli lampin pakai buang, susu tepung dan tiub saluran minuman yang perlu ditukar setiap dua minggu sekali,” katanya.

Beliau berkata, selain menjaga along, dua anaknya Siti Suhaini Jailani, 19, dan Mohd Safuan Jailani, 17 turut bergantung kepada ubat kerana menghidap asma dan barah.

Maziah juga mempunyai dua orang anak bersama suaminya kini, Mohd Hamzan Mohd,47, yang masih bersekolah iaitu Mohd Shahrizan, 8, dan Mohd Shahrulnizam, 6.

Difahamkan, akibat kemalangan itu, Along mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Universiti Sains Malaysia, (HUSM), selama tiga bulan.

Doktor pernah memaklumkan anaknya mungkin berada dalam keadaan koma sepanjang hayatnya, namun sebagai seorang ibu, dia tidak berputus asa untuk melakukan apa saja bagi memulihkan anaknya.

“Antara kaedah yang pernah kami cuba ialah fisioterapi di hospital, perubatan alternatif akupunktur, perubatan tradisional dan terapi muzik bagi menyedarkan anaknya dari koma. Alhamdulillah sejak tujuh tahun lalu, Along sudah memberikan reaksi membuka mata dan batuk serta bersin.

“Pelbagai jenis ubat dan air penawar juga kami dapatkan kerana mahu dia sihat dan aktif seperti sebelum tragedi tersebut,” katanya.

Justeru, dia berharap dan berdoa agar suatu hari nanti anaknya akan pulih seperti biasa walaupun harapannya dikatakan tipis.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close