Cari Duit Raya Alasan Mencuri Jubah Di Bazar

“Saya terpaksa melakukannya kerana amat memerlukan wang.” Demikian pengakuan seorang lelaki kepada mahkamah sebagai alasannya mencuri enam helai jubah milik seorang peniaga di Bazar Ramadan Masjid Negeri di sini 7 Ogos lalu.

Alasan tertuduh, Jairi Mohd Anuar, 34 dari Taman Desa Mayang, Jeram, Selangor itu bagaimanapun tidak dapat diterima mahkamah sebaliknya Majistret Rini Triany Mohamd Ali menegur perbuatannya yang dianggap kurang bijak.

Curi jubah di bazar Ramadan cari duit raya

“Perbuatan mencuri bukan satu tindakan bijak walaupun kamu benar-benar terdesak sebaliknya banyak pekerjaan lain yang boleh kamu lakukan untuk mencari wang bagi menyambut Aidilfitri,” katanya.

Mengambil kira rayuan dan kesalahan tertuduh, Rini dalam keputusannya mengarahkan lelaki itu dipenjara sebulan dari tarikh tangkap dan denda RM1,000 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskannya.

Tertuduh yang pernah menjalani hukuman penjara kerana kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan didakwa memasuki ruang menyimpan stok jubah milik peniaga bazar Ramadan itu lalu mengambil satu ikatan pakaian tersebut.

Kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu bagaimanapun disedari pemilik gerai berusia 32 itu lalu dia bertindak mengejar tertuduh yang cuba melarikan diri bersama barang yang dicuri.

Nasib tertuduh tidak baik apabila berjaya ditangkap dengan bantuan orang ramai sebelum diserahkan kepada polis pada hari yang sama.

Tertuduh yang mengalami masalah pendengaran kelihatan terpinga-pinga ketika pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam mahkamah itu semalam.

Disebabkan masalah yang dihadapi, juru bahasa terpaksa berada berhampiran kandang tertuduh bagi mengulanginya bacaan pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Ain Fadilah Md Ali.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang pencuci kereta mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan pecah rumah dan mencuri sebuah komputer riba, wang tunai RM1,500 dan empat telefon bimbit milik seorang penduduk di Perkampungan Sungai Isap 2 di sini, kelmarin.

Tertuduh, Wan Amir Azuwa Wan Azman, 20 dari perkampungan sama didakwa bersama seorang rakan yang masih bebas melakukan perbuatan tersebut antara jam 8.20 hingga 10.15 malam, 13 Ogos lalu.

Akibat perbuatan mereka, pemilik rumah berusia 54 tahun kerugian kira-kira RM3,000.

Berikutan perbuatannya itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan denda.

Tertuduh yang minta dibicarakan ditawarkan ikat jamin RM4,000 bagaimanapun jumlah itu dikurangkan kepada RM3,300 selepas dia membuat rayuan berhubung jumlah jaminan itu dengan alasan pendapatan rendah sekitar RM600 sebulan sebagai pencuci kereta.

Mahkamah menetapkan 12 September depan sebagai tarikh pra bicara kes tersebut dalam mahkamah sama.

Facebook Comments
Close