Belasah Penceroboh Sampai Mati | 8 Pelajar Tahfiz Direman Seminggu

Lapan pelajar lelaki sebuah sekolah menengah agama tahfiz, di sini, ditahan reman selama seminggu mulai semalam bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki berusia 33 tahun yang dibelasah ketika menceroboh bilik asrama pelajar lelaki sekolah berkenaan kelmarin.

Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Nor Fazilah Wan Ibrahim mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan, jam 10.30 pagi, semalam.

8 pelajar tahfiz direman seminggu

Suspek berusia antara 19 hingga 22 tahun dan berpakaian lokap berwarna oren dibawa ke mahkamah, jam 10 pagi. Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, polis berharap dengan penahanan lapan suspek itu akan dapat membantu menyelesaikan kes berkenaan. “Kita sudah mendapatkan perintah tahanan reman terhadap semua suspek untuk siasatan lanjut berhubung kes kematian seorang lelaki,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang lelaki parah akibat dibelasah sekumpulan pelajar sebuah sekolah tahfiz, di sini, selepas ditahan kerana menceroboh asrama sekolah berkenaan, meninggal dunia lapan jam selepas kejadian ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, suspek dipercayai memecah masuk asrama sekolah berkenaan sebelum ditangkap sekumpulan pelajar tahfiz berkenaan dan berlaku pergelutan sehingga mengakibatkan suspek dipukul.

Adzman berkata, laporan bedah siasat mendapati mangsa mati disebabkan kecederaan daripada objek tumpul. “Suspek dikatakan memecah masuk asrama dan mengambil beberapa beg serta telefon bimbit sebelum tindakannya disedari pelajar.

“Suspek berusia 33 tahun ditahan sekumpulan pelajar dan berlaku pergelutan sehingga mengakibatkan lelaki itu dibelasah mereka sebelum pelajar terbabit membuat laporan serta menyerahkan suspek kepada polis,” katanya.

Facebook Comments
Close