Bakar Pelajar Perempuan | Dua Sahabat Termasuk Teman Lelaki Mangsa Didakwa

Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan cuba membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dengan membakar sehingga menyebabkan mangsa melecur 30 peratus, dua minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Amir Mohd Anuar, 19, dan Muhammad Faiz Khamaruddin, 24, mengaku tidak bersalah cuba membunuh Nurul Firzanah Mat Zaki dengan membakar wanita itu di kawasan semak belakang Puspakom Wangsa Maju, Setapak, Sentul, di sini, pada jam 3.15 pagi, 13 Ogos lalu.

Teman lelaki didakwa

Tuduhan terhadap mereka yang masing-masing bekerja di sebuah hotel dan sebagai pengawal keselamatan itu dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli tidak bercadang menawarkan sebarang jaminan memandangkan tiada arahan istimewa membenarkan jaminan bagi kesalahan di bawah seksyen berkenaan.

Mohd Amir yang dipercayai teman lelaki mangsa diwakili peguam, Wan Azmir Wan Majid, manakala Muhammad Faiz masih belum melantik peguam untuk mewakilinya.

Pada prosiding semalam, Hakim SM Komathy Suppiah sempat bertanya kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Chua Sze Yuan mengenai keadaan mangsa dan Chua memberitahu bahawa mangsa masih dalam keadaan koma dan ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Selain itu, Komathy bertanyakan mengenai pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh yang sudah dibuat sedangkan mangsa masih koma dan keterangan daripadanya masih belum dirakam.

Chua berkata, hasil siasatan awal, sebelum koma, mangsa ada menyebut tiga nama yang dikatakan membakarnya termasuk kedua-dua tertuduh.

“Bagaimanapun, saya sudah mendapat arahan untuk membuat rakaman percakapan mangsa sebaik dia sedar daripada koma,” katanya.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dan menetapkan 27 September depan untuk pengurusan kes sementara menunggu laporan kimia dan laporan perubatan.

Facebook Comments
Close