Bahu & Kaki Kiri Patah Akibat Diragut

Seorang wanita parah dengan bahu dan tangan kirinya patah selepas terjatuh dari motosikal ditunggangnya apabila dua lelaki bermotosikal merentap beg tangan adik iparnya yang membonceng ketika mereka dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura.

Lebih malang, pekerja hotel itu dan adik iparnya yang turut cedera, kini berdepan risiko dibuang kerja berikutan majikan meragui kemampuan mereka meneruskan tugas atas faktor kesihatan.

Tergolek disentap peragut

V Rathi, 23, berkata, kejadian berlaku pada jam 4.15 pagi, 11 Ogos lalu, ketika dia dan adik iparnya, K Rathigah, 22, menunggang motosikal ke Tambak Johor untuk memasuki Singapura.

Ibu kepada seorang anak itu berkata, apabila tiba di jalan utama berhampiran Kampung Semangat di Kempas di sini, mereka dihampiri sebuah motosikal dinaiki dua lelaki berpakaian gelap.

Katanya, mereka merentap beg tangan adik iparnya dan berlaku pergelutan menyebabkan dia gagal mengawal motosikal lalu merempuh sebuah motosikal lain di hadapannya.

“Kami berdua terseret hampir lima meter hingga saya patah bahu dan tangan kiri manakala kaki kiri Rathigah dan lututnya pula koyak.

“Penjenayah itu menghampiri kami dan melarikan pelbagai barangan termasuk dompet, pasport dan telefon bimbit sebelum meninggalkan kami kesakitan di atas jalan raya.

“Nasib baik ada beberapa penunggang motosikal berhenti membantu kami,” katanya.

Dalam kejadian itu, Rathigah kehilangan kad pengenalannya, kad pengenalan milik dua anaknya, lesen memandu serta kad kredit milik suaminya.

Rathi berkata, akibat kecederaan itu dia terpaksa mendapatkan rawatan susulan di hospital pakar dan klinik swasta selepas rawatan kecemasan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Menurutnya, mengikut laporan perubatan, tulang bahunya patah manakala Rathigah belum pulih berikutan lututnya terkoyak.

“Kami berdua bekerja di hotel berkenaan sejak empat bulan lalu dan tidak menyangka ditimpa nasib malang hingga berdepan risiko kehilangan kerja.

“Majikan sepatutnya prihatin dengan keadaan kami. Mereka tidak membenarkan kami cuti sakit melebihi tempoh tertentu malah menyatakan tidak yakin kemampuan kami bekerja selepas ini,” katanya yang masih bercuti sakit hingga 26 September ini.

Mereka turut membuat laporan di Balai Polis Kempas pada 12 Ogos lalu.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi berkata pihaknya menerima laporan berkenaan dan siasatan masih dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, belum ada tangkapan dilakukan dan pihaknya meminta bantuan orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Facebook Comments
Close