Adik Nur Syamira Ezzety Perlukan Sumbangan Untuk Kos Hospital

Jika ibu bapa lain sibuk membuat persiapan untuk anak-anak menjelang Syawal tidak lama lagi, namun bagi ibu tunggal Sorina Abas, 46, dia hanya mampu menatap wajah anaknya yang lebih dua hari koma selepas menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), 2 Ogos lalu.

Menurutnya, bukan mudah untuk menerima ujian apabila anak bongsu kesayangannya, Nur Syamira Ezzety Ibrahim, 11, yang mesra dengan panggilan ‘Adik’ menjalani pembedahan kerana memahami risiko maut yang bakal dihadapi.

Adik koma selepas dibedah

“Sempena bulan penuh keberkatan ini, saya hanya mampu berserah kepada ALLAH SWT.

“Pembedahan yang mengambil masa selama sembilan jam berjaya dilakukan dengan dua proses termasuk menampal jantung berlubang dan membetulkan kedudukan jantung yang terbalik pada Nur Syamira,” katanya.

Sorina berkata, dia seolah-olah hampir kehilangan anaknya itu apabila selepas pembedahan, Nur Syamira koma dan kritikal sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) disebabkan terlalu banyak pendarahan sehingga terpaksa menggunakan 15 beg darah untuk menyelamatkannya.

“Alhamdulillah, biarpun sekarang dia masih koma, namun perkembangannya semakin positif dan bersyukur pembedahan berjaya dilakukan,” katanya.

Bagaimanapun, di sebalik kegembiraan itu, jauh di sudut hati Sorina terbit rasa gusar mengenangkan kos hospital yang tidak mampu dibiayai memandangkan warung makan yang diusahakan bukan sahaja tidak beroperasi sepanjang Ramadan, malah dia perlu menemani anaknya itu di IJN.

Katanya, walaupun kos pembedahan ditanggung oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun dia masih memerlukan dana untuk menjelaskan bil hospital termasuk kos perubatan dan beberapan keperluan lain selepas anaknya dibenarkan keluar hospital kelak.

“Sebelum ini pihak IJN menganggarkan kos sebanyak RM15,000 bagi rawatan selepas pembedahan termasuk perubatan dan sebagainya, namun kos berkenaan lebih dari itu dan saya benar-benar memerlukan dana bagi meringankan beban.

“Sememangnya saya tidak dapat membalas jasa penderma sebelum ini dan mengharapkan keprihatinan masyarakat untuk terus membantu saya supaya adik dapat menjalani kehidupan seperti kanakkanak lain,” katanya.

Malah, katanya, dia juga berharap pihak yang telah berjanji untuk memberikan sumbangan tabung masjid sebelum ini dapat berbuat demikian dalam membantu dia menambahkan dana untuk kos pembiayaan selepas pembedahan.

Sinar Harian sebelum ini pernah menyiarkan penderitaan murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Selandar itu yang menghidap sakit jantung kritikal memerlukan dana bagi kos perubatan dan hospital termasuk keperluan lain.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh salurkan melalui akaun Bank Islam atas nama Sorina Abas (no akaun: 04033020189781) atau hubunginya di talian 017 2152313.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close