Warga Emas Maut Ditanduk Lembu Naik Minyak

Seorang warga emas maut apabila ditanduk seekor lembu betina yang secara tiba-tiba naik minyak, Sabtu lalu.

Ketika kejadian yang berlaku kirakira jam 5 petang itu, mangsa, Rokiah Jaal, 69, dalam perjalanan pulang ke rumahnya secara bersendiri selepas menghadiri kenduri kahwin di rumah jirannya yang terletak di seberang sawah.

Maut ditanduk lembu naik minyak

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Talang Tengah, Ariff Otok berkata, pada awalnya, arwah pergi bersama rakannya yang lain tetapi apabila hendak pulang ke rumah, dia berjalan sendirian.

Menurutnya, ketika mengikut jalan pintas kawasan pertanian, secara tiba-tiba lembu betina naik minyak lalu menanduk arwah.

“Akibat hentakkan kuat di bahagian badan, arwah terjatuh di atas tanah dan saya difahamkan, payung yang dibawa arwah juga koyak mungkin kerana mahu mempertahankan diri ketika diserang lembu tersebut.

“Lembu itu memang garang kerana baru sahaja melahirkan anak, baru-baru ini,” katanya.

Ariff berkata, arwah hanya dijumpai selepas jirannya ternampak dia terbaring di atas tanah yang tidak jauh dari rumahnya.

“Ketika ditemui, arwah masih lagi bernyawa dan dibawa di Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah untuk menerima rawatan, namun meninggal dunia selepas itu.

“Arwah dikebumikan di tanah perkuburan di sini, kira-kira jam 2 petang, kelmarin,” katanya.

Katanya, walaupun kejadian itu kali pertama berlaku di kampung ini, namun amat membimbangkan kerana banyak lembu yang dibiarkan berkeliaran tanpa diawasi tuannya.

“Oleh itu, diharap penternak lembu dapat mengawasi haiwan peliharaan mereka bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close