Tiga Rakan Sekerja Didakwa Merogol

Tiga rakan yang bekerja sebagai pembantu kedai dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas 12 tuduhan meliwat dan merogol seorang remaja perempuan pada 29 dan 30 Jun lalu.

Tertuduh pertama, Norizam Bahri, 22, berhadapan tiga tuduhan meliwat dan tiga tuduhan merogol ke atas mangsa yang berusia 15 tahun enam bulan bertempat di asrama pekerja di Jalan Sena 9, Taman Rinting, di sini.

Dituduh rogol, liwat remaja

Norizam dituduh melakukan kesalahan itu di antara jam 2 petang pada 29 Jun hingga 8 malam 30 Jun.

Tertuduh kedua, Mohammad Fauzi Rahmad, 20, dikenakan dua tuduhan meliwat dan dua tuduhan merogol ke atas mangsa yang sama di antara jam 10.45 malam pada 29 Jun hingga jam 3 pagi pada 30 Jun lalu.

Manakala tertuduh ketiga Abdul Halim Rahamat, 20, dituduh meliwat dan merogol mangsa pada jam 10.30 malam pada 29 Jun lalu di tempat yang sama.

Ketiga-tiga tertuduh tidak mengaku salah atas semua pertuduhan tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dzul Iswari Mohd Jaafar mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan, dan Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Zamri Bakar menetapkan 27 Julai ini sebagai sebutan semula kes dan beliau menetapkan tertuduh pertama dan kedua dikenakan ikat jamin sebanyak RM22,000 setiap seorang, manakala ikat jamin RM11,000 bagi tertuduh ketiga.

“Ikat jamin ini bertujuan memberi peluang kamu bergaul bersama masyarakat dan meluangkan masa bersama keluarga,” katanya.

Ketiga-tiga tertuduh yang turut ditemani keluarga masing-masing diwakili peguam Hussin Othman.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close