Remaja Wanita Ditipu Peniaga Online

Akibat terpengaruh dengan sebuah telefon pintar yang dijual dengan harga murah menerusi online, seorang wanita terpaksa gigit jari apabila menyedari dia sebenarnya ditipu.

Nur Amirah Aqilah Zainudin, 22, seorang kerani di sini, pada mulanya tertarik dengan sebuah telefon pintar jenis BlackBerry 9700 yang diiklankan dalam sebuah laman web, Jumaat lalu.

Mangsa tipu peniaga online

“Saya cuba menghubungi talian telefon yang tertera pada iklan yang terpampang dalam laman web berkenaan. Panggilan itu dijawab seorang wanita dan dari segi percakapannya, dia berbangsa Melayu,” katanya.

Menurutnya, semasa berurusan dalam telefon, dia dimaklumkan bahawa harga telefon pintar itu adalah RM400 sahaja.

“Saya minta agar harga yang ditawarkan dikurangkan dan wanita itu bersetuju memberi diskaun RM50,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, dekat sini semalam.

Nur Amirah Aqilah berkata, wanita berkenaan juga memintanya mendepositkan wang ke sebuah bank pada hari sama bagi membolehkan telefon pintar itu diposkan menerusi perkhidmatan kurier.

“Ketika itu memang saya tidak syak apa-apa sebelum bayaran dibuat melalui online. Bagaimanapun, saya hanya membayar RM170 dahulu, manakala bakinya akan dijelaskan sebaik saja menerima barang berkenaan.

“Wanita itu memberitahu telefon pintar berkenaan akan sampai kepada saya petang keesokan hari (Sabtu),” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pada hari yang dijanjikan, barangan tersebut tidak sampai sehingga hari ini.

“Saya cuba beberapa kali menghubungi semula talian telefon wnaita berkenaan, namun ia sudah tidak aktif lagi,” katanya.

Percaya kemungkinan ditipu, Nur Amirah kemudian membuat laporan di Balai Polis Telok Kemang, dekat sini.

“Sebelum ini saya selalu berurus niaga menggunakan online untuk membeli pakaian dan aksesori, namun tidak pernah berlaku sebegini. Ini adalah kali pertama,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Rohani Karim, 53, berkata, dia kecewa dengan tindakan gopoh anaknya terlalu cepat mempercayai iklan dalam online.

“Nasib baik dia hanya membayar separuh. Ini pengajaran kepadanya serta orang ramai agar lebih berhati-hati membeli menerusi online,” katanya.

Facebook Comments
Close