‘Mat Despatch’ Ditahan | Samun Kedai Serbaneka

Polis menahan seorang penghantar surat yang aktif menyamun kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah Timur Laut, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata lelaki berusia 23 tahun itu ditahan pada pukul 1 pagi di Sungai Nibong ketika sedang menunggang motosikal.

Polis tahan 'Mat despatch' samun kedai serbaneka

“Anggota polis yang sedang membuat rondaan di sekitar Sungai Nibong menahan lelaki itu dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan mendapati dia dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa kes samun kedai 24 jam,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau berkata ekoran penahanan lelaki itu, polis menyerbu rumahnya di Sungai Pinang di sini, dan menemui beberapa barangan termasuk senjata tajam yang dipercayai diguna untuk aktiviti samunnya.

Antara barangan yang ditemui ialah empat bilah pisau, pemutar skru, 10 kotak rokok pelbagai jenama, beg warna hitam dan 10 biji pil eramin 5.

“Siasatan awal juga mendapati lelaki yang masih bujang itu telah menyamun tujuh buah kedai serbaneka 24 jam sejak bulan lepas dan kerugian keseluruhan dianggarkan RM14,148,” katanya.

Gan berkata modus operandi ‘mat despatch’ itu ialah menyamar sebagai pelanggan di kedai serbaneka sebelum bertindak menyamun dengan mengacukan pisau.

Katanya selain wang tunai, lelaki itu yang menjalankan aktiviti secara sendirian turut menyamun beberapa barangan yang terdapat dalam kedai seperti rokok dan makanan.

“Dia kini direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun,” katanya.- Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close