Malaysia Tewas Kepada Manchester City 1 – 3

Juara Liga Perdana Inggeris 2011/2012 Manchester City FC menyajikan persembahan menghiburkan untuk menumpaskan Malaysia 3-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Kunjungan Manchester City ke Malaysia itu adalah yang pertama dan ia adalah sebahagian daripada Jelajah Musim Panas 2012 pasukan berkenaan.

Manchester City tewaskan Harimau Malaya 3-1

Membariskan pemain-pemain hebat seperti Sergio Aguero, Carlos Tevez dan Yaya Toure, aksi pasukan Manchester City ternyata memukau 30,000 penonton dari dalam dan luar negara yang menyaksikan perlawanan tersebut.

Pasukan itu yang juga dikenali sebagai ‘The Blue Moon Rising’ tidak mengambil masa lama untuk mengkucar-kacirkan barisan pertahanan pasukan Harimau Malaya sebaik pengadil perlawanan Mohd Amirul Izwan Yaacob meniupkan wisel sepak mula perlawanan.

Pasukan pelawat membuka jaringan menerusi kuisan Arguero pada minit ke-17 selepas beliau berjaya mengelecek dua pertahanan Malaysia.

Selepas permainan bersambung, anak buah Roberto Manchini menggandakan asakan dan Tevez berjaya menjaringkan gol kedua Manchester City pada minit ke-47.

Lima minit kemudian, penjaga gol Malaysia Mohd Farizal Marlias sekali lagi diuji apabila Adam Johnson yang menerima umpanan Aguero menyempurnakan gol ketiga Manchester City.

Walaupun berdepan pemain-pemain yang jauh berpengalaman, pasukan Malaysia di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal masih berupaya memberi tentangan kepada pasukan pelawat.

Gol tunggal Harimau Malaya diperoleh tiga minit sebelum permainan tamat menerusi gerakan solo Azamuddin Mohd Akil yang berjaya mengelecek dua pertahanan Manchester City, Pablo Zabaleta dan Kolo Toure.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah menyampaikan pingat dan piala kepada kedua-dua pasukan berkenaan.

Senarai Pemain:
MALAYSIA:
Mohd Farizal Marlias, (Khairul Fahmi Che Mat), S.Subramaniam (Mohd Faizal Muhammad) , Mohd Bunyamin Umar, Mohamad Adil Zafuan Abdul Razak, Mohamad Azmi Muslim (Mahalli Jasuli), Safiq Rahim (kapten) (Mohd Khyril Muhymeen), Gary Steven Robbat, S.Kunalan (Amiridzwan Taj Tajudin) , Baddrol Bakhtiar (Azamuddin Mohd Akil), Norsharul Idlan Talaha (Ahmad Shakir Mohd Ali), Mohd Safee Mohd Sali (Mohd Shakir Shaari).

MANCHESTER CITY:
Costel Pantilimon, (Eirik Johansen), Pablo Zabaleta, Aleksandar Kolarov, Stefan Savic, Kolo Toure (Filippo Mancini),Denis Suarez, Dedryck Boyata, Adam Johnson, Yaya Toure (kapten) (Luca Scapuzzi), Abdul Razak Karim (George Evas), Carlos Tevez, Sergio Aguero (Marcos Lopes).

Pengadil: Mohd Amirul Izwan Yaacob.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close