Lelaki Hadapi Tuduhan Miliki Heroin Meninggal Sebaik Pertuduhan Dibacakan

Mahkamah Majistret di sini semalam, gempar seketika apabila seorang lelaki yang dituduh memiliki heroin tiba-tiba melutut di lantai sebelum rebah dan meninggal dunia di pangkuan ibunya sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Difahamkan sebelum kejadian kira-kira jam 3 petang itu, tertuduh, Fazlie Khamis, 28, dari Bachang, Batu Berendam, dibawa dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan memiliki heroin.

Melutut sebelum rebah

Menurut sumber, tertuduh yang dalam keadaan lemah duduk di atas bangku di luar kandang pesalah ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif.

“Bagaimanapun, selepas pertuduhan dibacakan, tiada reaksi diberikan tertuduh yang ketika itu tunduk dengan air liur meleleh. Melihat keadaan tertuduh yang tidak sihat, kakitangan mahkamah menghubungi ambulans sebagai persediaan.

“Selepas tiada tindak balas daripada tertuduh, jurubahasa sekali lagi membacakan pertuduhan sama apabila melihat tertuduh mula bergerak, namun beberapa minit kemudian dia tiba-tiba jatuh melutut dan rebah ke lantai,” katanya.

Menurutnya, anggota perubatan yang tiba merawat tertuduh sebelum dia yang dipangku ibunya disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman berkata, tertuduh dibawa ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki 2.5 gram heroin.

“Mayat tertuduh dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sehingga menunggu laporan penuh bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, Fazlie ditahan sepasukan polis kira-kira jam 3.30 petang, 27 Julai lalu di Batu Berendam dan direman sehingga 31 Julai (hari ini).

Sementara itu, ibu tertuduh dikenali sebagai Sapiah, 60-an, berkata dia hanya menyedari kejadian menimpa anaknya selepas melihat kakitangan ambulans masuk ke mahkamah.

“Saya datang ke sini sejak pagi, namun tidak menemuinya. Sebelum kejadian saya duduk di luar dan melihat kakitangan ambulans masuk ke dalam mahkamah.

“Melihat keadaan kelam-kabut, saya turut masuk dan terkejut melihat Fazlie yang rebah. Saya segera memangkunya, tetapi ketika itu dia sudah lemah sebelum menghembuskan nafas terakhir di pangkuan saya,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close