Kes Amuk JPM | Muhdalina Didakwa Atas Dua Tuduhan

Wanita yang mengamuk bersama seorang lelaki dengan bersenjatakan pedang samurai di pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini minggu lepas, hari ini didakwa atas dua tuduhan iaitu ugutan jenayah dan membawa pedang.

Muhdalina Ahmad, 28, yang merupakan bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan itu.

Amuk: Muhdalina didakwa ugut polis, bawa pedang

Dia didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya yang bersidang di wad ortopedik Hospital Putrajaya di mana dia sedang menerima rawatan akibat daripada kecederaan yang dialaminya dalam kejadian amuk itu.

Bernama melaporkan bahawa bagi tuduhan pertama, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mendatangkan cedera parah kepada seorang anggota polis Ridzuan Megat Ahmad manakala bagi tuduhan kedua, dia didakwa membawa sebilah pedang.

Dia dituduh melakukan kedua-dua tuduhan itu di Kompleks B, JPM, Presint 1, Putrajaya kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai lepas.

Bagi tuduhan pertama, Muhdalena, dari Kota Damansara, Petaling Jaya, didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Kafli Che Ali menetapkan 29 Ogos untuk sebutan kes dan membenarkan Muhdalena diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Siti Balkiah Yazaid.

Terdahulu difahamkan dalam rayuannya, Muhdalina dalam keadaan menangis berkata, dia dan suaminya tidak bekerja dan keluarganya disara oleh ibu serta mertuanya.

Hakim bersama-sama seorang jurubahasa, pendaftar Mahkamah Sesyen dan Timbalan Pendakwa Raya diiringi beberapa pegawai polis tiba di hospital itu pada 11.55 pagi.

Dalam kejadian Isnin lepas, rakan tertuduh, Khalil Afandi Abd Hamid yang mengisytiharkan dirinya sebagai imam Mahadi ditembak mati oleh polis, meninggal di hospital Putrajaya, manakala Muhdalena mengalami kecederaan di pahanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close