Kata-kata Gurauan Jurujual ‘Ingin Pergi Jauh’ Jadi Kenyataan

Gurauan seorang jurujual kepada ahli keluarganya dengan mengatakan ingin pergi jauh rupanya menjadi petanda yang dia akan dijemput ILAHI setelah lemas sewaktu berkelah di Air Terjun Belukar Bukit, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, NurFar Ain Mohd Nor, 19, daripada Kampung Kubang Kura, Kuala Bekah, Kuala Terengganu dipercayai lemas ketika sedang mandi bersama adiknya, Nor Ashida, 17, serta anak saudaranya berusia 9 tahun.

Gurauan jadi kenyataan

Menurut Nor Ashida, terdahulu mereka bertiga sedang mandi-manda setelah tiba di kawasan air terjun berkenaan kira-kira jam 3.30 petang bersama ahli keluarga yang lain, sebelum mengambil keputusan kembali ke kawasan tebing.

“Dia (mangsa) berjalan mengharung air dihadapan bersama anak saudara tidak jauh dari saya, tapi secara tiba-tiba dia tenggelam dan terkapai-kapai. Saya terus meluru kepadanya tetapi saya juga hampir lemas kerana dia berpaut pada saya, apatah lagi paras air di situ dalam.

“Dalam keadaan panik, saya rasa ada seseorang cuba selamatkan saya dengan menarik rambut. Ketika itu, saya sudah tidak nampak lagi kakak terkapai-kapai dan apabila berjaya diselamatkan, difahamkan kakak lemas serta tenggelam,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu berlaku sekelip mata, ditambah pula mereka berdua tidak tahu berenang.

“Malah saya sendiri bagaikan tidak percaya kerana sebelum itu kami mandi-manda bersama setelah tiba di sini bersama 16 ahli keluarga lain untuk habiskan masa hujung minggu.

“Kami sekeluarga datang ke sini untuk berkelah kerana kebetulan minggu ini dia pulang ke kampung kerana kakak saya ini bekerja di sebuah pasar raya di Johor. Tidak sangka hasrat untuk datang bergembira bertukar menjadi kesedihan sebegini,” katanya kepada Sinar Harian, ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, kakaknya itu bergurau dengan keluarga mengatakan ingin pergi jauh namun tidak memberitahu destinasinya.

Kini baru mereka mengerti maksud di sebalik gurauan itu, namun dia reda dengan ketentuan ILAHI.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superitendan Mohd Rosli Mohd Amir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.

“Mangsa didapati lemas ketika sedang mandi-manda di kawasan air terjun yang mempunyai kedalaman kira-kira tiga meter.

“Secara tiba-tiba mangsa dipercayai tenggelam dan ditemui orang awam lalu dibawa naik ke tebing. Ketika itu, mangsa telah pun meninggal dunia,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close