Harimau Malaya Berangkat Ke Austria Dari 4-16 Ogos Ini

KETUA jurulatih negara Datuk K. Rajagobal hari ini mengesahkan bahawa skuad Harimau Malaya akan menjalani latihan di Vienna, Austria dari 4-16 Ogos ini sebagai persiapan untuk mempertahankan Piala AFF Suzuki, November ini.

Beliau berkata, skuad 28 pemain tersebut akan mengadakan tiga perlawanan persahabatan dengan kelab profesional di negara berkenaan sepanjang tempoh
tersebut.

Rajagobal: Harimau Malaya ke Austria bulan depan

“Menerusi tiga perlawanan itu, saya harap dapat membuat penilaian mengenai kesebelasan utama untuk Piala AFF Suzuki nanti,” katanya kepada pemberita
selepas sidang media perlawanan persahabatan dengan Arsenal FC hari ini.

Rajagobal turut berharap empat pemain utama skuad Harimau Malaya iaitu Mohd Safee Sali, Ahmad Shakir Mohd Ali, Yong Kuong Yong serta penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat yang kini berdepan dengan masalah kecederaan mampu pulih sebelum bermulanya saingan Piala AFF nanti.

“Kalau boleh, saya mahu menyenaraikan pemain terbaik negara untuk Piala AFF namun kita harus realistik bahawa mereka mungkin akan tercedera sekiranya saya menggunakan khidmat mereka secara berterusan,” katanya.

Skuad Harimau Malaya berdepan laluan getir pada Piala AFF Suzuki kali ini apabila diundi bersama naib juara edisi 2010, Indonesia dan juara tiga kali
Singapura dalam Kumpulan B.

Turut akan disenaraikan dalam kumpulan berkenaan ialah naib juara pusingan kelayakan yang akan diketahui pada 13 Oktober depan.

Pusingan kelayakan kejohanan itu akan berlangsung dari 5 hingga 13 Oktober di Myanmar dengan format kalah mati melibatkan pasukan Brunei, Kemboja, Laos, Timor Leste dan tuan rumah.

Perlawanan Kumpulan A yang melibatkan Thailand, Vietnam, Filipina dan pemenang pusingan kelayakan akan berlangsung di Stadium Rajamangala di Bangkok manakala saingan dalam Kumpulan B akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, dari 24 November hingga 22 Disember.

Harimau Malaya akan membuka kempen dengan menentang Singapura pada 25 November diikuti naib juara pusingan kelayakan pada 27 November sebelum menutup aksi kumpulan menentang Indonesia pada 1 November. –

Facebook Comments
Close