Gara-gara Percaya Rakan | Mekanik Disenarai Hitam JPJ

Gara-gara terlalu percayakan rakan, seorang mekanik menanggung padah selepas kereta dijual kepada sahabatnya itu tidak diubah hak milik selain tidak diperbaharui insurans dan cukai jalan hingga menyebabkan mangsa disenarai hitam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor.

Ho Kok Wan, 52, berkata, pada 23 Ogos 2010, dia menjual kereta Mitsubishi Lancer kepada rakannya dengan harga RM800.

Disenarai hitam JPJ selepas ditipu rakan

Menurutnya, sahabatnya yang juga mekanik di Gombak membayar wang pendahuluan RM200 pada tarikh berkenaan dan bakinya pada 28 September selain berjanji menguruskan pemindahan hak milik berikutan dia tidak tahu membaca dan menulis.

“Sebagai bukti, saya diberikan perjanjian bertulis, namun selepas setahun kereta itu digunakan, baru saya tahu ia belum dipindah milik, tidak dibayar cukai jalan dan insurans,” katanya yang mendakwa menyedari perkara itu selepas kereta berkenaan dibawa ke bengkelnya di Jalan Gombak akibat rosak.

Tidak cukup dengan itu, pada 15 April lalu, mangsa dikejutkan berita kurang baik sejurus menerima surat saman daripada JPJ Selangor selepas kenderaan itu ditahan di Rawang awal tahun ini.

“Notis itu menyatakan saya didakwa mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tidak mematuhi undang-undang jalan raya. Saya tidak tahu menahu kerana kenderaan itu sudah dijual kepada rakan,” katanya.

Akibat penganiayaan itu, mangsa dikompaun RM250 dan didakwa di Mahkamah Selayang pada 16 Julai lalu lalu sebelum memanjangkan perkara itu kepada Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Kepong, Wilson Lau.

Ho berkata, menyedari kejadian itu, dia meminta untuk membeli semula kereta itu, namun rakannya memberi alasan tidak tahu di mana kereta itu kini.

“Saya tertipu berikutan baru minggu lalu seorang sahabat mendapati rakan saya itu memandu kereta berkenaan di Gombak. Saya kecewa dan mahukan pengadilan,” katanya yang membuat aduan di Balai Polis Setapak, Mac lalu.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close