Gambar ‘Terakhir’ Remaja Sebelum Maut Kemalangan

CHENG, Melaka Tengah – Seorang askar sempat menikmati char kuey teow ‘terakhir’ serta meminta rakannya mengambil gambar sebagai kenangan sebelum dia maut dalam kemalangan di persimpangan Cheng, Lebuh AMJ, di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, Mohd Hazril Mat Deris, 22, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal jenis Yamaha 125Z ditunggang bersama rakannya bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Saga di persimpangan lampu isyarat Cheng, di sini kira-kira 2.50 pagi.

Gambar akhir arwah Mohd Hazril Mat Deris

Gambar akhir arwah Mohd Hazril Mat Deris

Beberapa minit sebelum kejadian, mangsa sempat bergurau dengan rakan bahawa dia mahu makan char kuey teow ‘terakhir’.

Bagaimanapun, motosikal mangsa yang dinaiki bersama rakan dikenali sejak di bangku sekolah, Mohd Azizul Mahassan, 22, berlanggar dengan sebuah kereta dipandu Abu Hasan Lemat, 50, ketika dalam perjalanan pulang ke Kem Terendak selepas selesai makan.

Pelanggaran itu juga menyebabkan Mohd Azizul yang membonceng cedera di peha kiri, sementara Abu Hasan cedera ringan dan kedua-duanya dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Rakan mangsa, Syarafizam Arifin, 21, berkata, sebelum kejadian, arwah duduk termenung di katil dan mengadu sakit pinggang ketika mereka berlima hendak keluar makan bersama di Pantai Puteri kira-kira 12 tengah malam.

Katanya, biarpun dinasihatkan untuk membatalkan saja perancangan untuk keluar makan, namun Mohd Hazril masih berkeras untuk keluar juga.

“Bagaimanapun, dia tidak makan kerana tiada selera apabila sampai di sebuah kedai makan di Pantai Puteri.

“Selepas itu, kami pergi duduk di tepi Pantai Klebang dan di situ arwah menyuruh mengambil gambar sebagai kenangan menggunakan telefon bimibit saya dan meminta saya menyimpan gambar itu dan melarang membuangnya.

“Kemudian dia ada berkata, teringin makan char kuey teow ‘terakhir’ dan mengajak kami ke sebuah kedai di Klebang,” katanya.

Syarafizam berkata, dia tidak menyangka gurauan mengenai ‘char kuey teow terakhir’, selain gambar diambil dan diminta untuk disimpan adalah petanda Mohd Hazril yang dikenalinya sejak memasuki tentera dua tahun lalu akan pergi selama-lamanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman mengesahkan menerima laporan kejadian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 06-284 2222.

Facebook Comments

Incoming search terms:

  • kemalangan ngeri di klebang melaka (26)
  • kemalagan ngeri di pantai putri (14)

Comments are closed.

Close