Empat Penyamun Menyamar Polis Ditahan

Berlagak seperti polis, empat lelaki menaiki van putih dengan nombor pendaftaran palsu bertindak berani menyamun sebuah pusat urut dan mengikat tujuh pelanggan termasuk juruwang pusat terbabit menggunakan kabel pengikat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, bagaimanapun, usaha penjenayah itu gagal apabila polis berjaya menahan mereka dalam satu serbuan di Pusat Urut Refleksologi di Bandar Mahkota Cheras pada 14 Julai lalu.

Empat penyamun menyamar polis ditahan

Menurutnya, dalam kejadian jam 12.15 pagi, Ketua Polis Balai Sungai Long bersama anggota menyerbu pusat terbabit selepas mendapat maklumat awam.

“Ketika serbuan, dua lelaki cuba lari dengan terjun dari tingkat satu bangunan berkenaan namun gagal apabila kedua-duanya cedera patah kaki dan patah leher.

“Manakala dua lagi suspek cuba bersembunyi dalam premis itu sebelum sepasukan anggota polis cawangan D9 IPD Kajang menyerbu dan berjaya menahan mereka,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Ab Rashid berkata, suspek menyasarkan pusat urut dan hotel bajet dengan memperkenalkan diri sebagai anggota polis yang membuat operasi pemeriksaan tanpa menunjukkan sebarang kad kuasa sebelum menyamun.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek turut terlibat dalam tiga lagi kes samun di sekitar Kajang melibatkan pusat urut dan hotel bajet di Jalan Reko.

“Dalam kejadian samun Hotel Up Town bulan lalu, suspek berlagak sebagai pelanggan untuk sewa bilik sebelum mengikat pengawal dan juruwang serta menyamun premis itu,” katanya.

Menurutnya, semua suspek mempunyai rekod jenayah baru dibebaskan dari Pusat Pemulihan Akhlak Penjara Simpang Renggam awal Januari lalu.

“Suspek pertama dan kedua berumur 33 tahun dan 28 tahun yang cedera kini dirawat di Hospital Putrajaya dan Hospital Kajang.

“Semua suspek ditahan reman empat hari sehingga hari ini (semalam) dan dilanjutkan tempoh tahanan reman untuk siasatan,” katanya. Polis turut rampas tiga komputer riba, dua LCD TV, satu besi buku lima, sebilah pisau dan kabel pengikat.

Facebook Comments
Close