Ditangkap Kerana Mencuri 17 Ekor Lembu

Permintaan tinggi daripada peraih untuk membeli daging dengan harga murah sempena Ramadan mendorong sekumpulan enam individu termasuk seorang wanita menjadikan kegiatan curi lembu sebagai sumber pendapatan.

Mereka berusia antara 25 dan 52 tahun itu berjaya mencuri 17 ekor lembu di sebuah ladang ternakan di Ayer Hitam, Johor, Rabu lalu untuk dijual kepada peraih sepanjang bulan puasa.

Lima lelaki, seorang wanita ditahan kerana curi 17 ekor lembu

Bagaimanapun, usaha mereka gagal apabila diberkas polis di sebuah kampung dekat Sungai Petani, di sini, tengah malam kelmarin, kira-kira 15 jam selepas pemilik lembu terbabit membuat laporan polis.

Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi kelmarin, seorang penternak lembu berusia 42 tahun membuat laporan polis di Ayer Hitam selepas mendapati 17 ekor lembu ternakannya hilang.

“Bertindak atas maklumat, beberapa anggota polis dari Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mengesan pencuri terbabit,” katanya.

Menurutnya, anggota polis menyerbu sebuah rumah di kampung berkenaan kira-kira jam 12.15 tengah malam dan menahan dua suspek lelaki.

“Selepas siasatan dilakukan, anggota polis ke kampung itu sekali lagi dan menahan dua lagi suspek lelaki di dalam sebuah rumah,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sumber berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan kunci sebuah lori“Sebuah lori jenis Toyota Hino disyaki untuk mengangkut lembu yang dicuri berada di pekarangan rumah suspek dan terdapat kesan pecah pada lampu hadapan sebelah kanan.

“Kedua-dua suspek menunjukkan lokasi lembu curi yang disorokkan, bagaimanapun sebahagiannya sudah dijual dan disembelih,” katanya.

Menurutnya, tangkapan itu turut membawa kepada penahanan masing- masing seorang lelaki dan wanita di lokasi berhampiran, dipercayai turut terlibat dalam kes berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Menurutnya, siasatan kes kini diambil alih IPD Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Superintendan Din Ahmad berkata, setakat ini, lapan ekor lembu ditemui semula dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Facebook Comments
Close