Dibelasah Kerana Minta Alih Motor

Gara-gara meminta diberi laluan, seorang lelaki cedera di kepala dan badan selepas dibelasah tiga lelaki menggunakan topi keledar dan kerusi plastik, petang kelmarin.

Difahamkan, lelaki berusia 35 tahun terbabit menunggang motosikal untuk ke pasar juadah berhampiran rumahnya di Taman Muda, di sini, sebelum laluannya terhalang sebuah motosikal lain yang ditunggangi seorang lelaki.

Cedera minta alih motor

Gambar hiasan

Menurut sumber, mangsa meminta lelaki itu mengalihkan motosikal bagi memudahkannya untuk keluar namun tidak menyangka tindakannya itu membawa padah apabila dicederakan lelaki terbabit.

“Dalam insiden jam 4 petang itu, mangsa meminta lelaki itu mengalihkan motosikalnya namun lelaki terbabit berang. Dia tidak berganjak, malah memanggil dua lagi rakannya datang ke arah mereka,” katanya.

Sumber berkata, ketiga-tiga lelaki terbabit membelasah mangsa menggunakan topi keledar dan kerusi plastik menyebabkan mangsa tidak mampu melawan.

“Mangsa cedera di kepala dan badannya. Ketiga-tiga lelaki itu melarikan diri. Mangsa menghubungi anak saudaranya meminta bantuan,” katanya.

Katanya, mangsa dibawa anak saudaranya itu membuat laporan di balai polis berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan lanjut dijalankan.

Facebook Comments
Close