Detik Cemas Kanak-kanak Jari Tersepit Eskalator

Seorang kanak-kanak berusia empat tahun, Mohd Nasrullah Mohd Adham hanya mampu menahan kesakitan selepas jari telunjuknya tersepit pada eskalator sebuah pusat beli-belah di sekitar bandar raya ini dalam kejadian jam 9 malam kelmarin.

Bagaimanapun, orang ramai yang menyaksikan kejadian memaklumkan perkara itu kepada pengurusan pusat beli-belah berkenaan sebelum eskalator berkenaan dihentikan.

jari kanak tersepit Eskalator

Ibu mangsa, Lailatul Kartini Hashim, 32, berkata, dia ke pusat beli-belah itu untuk membeli barangan keperluan rumah.

“Kami singgah di sebuah kedai untuk melihat baju, bagaimanapun Nasrullah tiba-tiba hilang daripada pandangan menyebabkan saya panik.

“Selepas mencari, saya terkejut mendapati Nasrullah terduduk di sebelah eskalator dengan sebahagian tangannya tersepit, saya bimbang keseluruhan tangan anak termasuk ke dalam eskalator itu,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Kartini, pengurusan pusat beli-belah berkenaan bertindak pantas dengan menghentikan eskalator itu.

Katanya, tangan Nasrullah berjaya dikeluarkan orang ramai sejurus eskalator berkenaan dihentikan sebelum dia dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

“Saya bersyukur kerana Nasrullah hanya cedera ringan pada jari telunjuk,” katanya.

Difahamkan, Nasrullah menjalani pembedahan kecil semalam untuk membersihkan bahagian kuku yang cedera dan dijangka dibenarkan keluar wad dalam masa terdekat. Kartini berkata, dia tidak menyangka insiden itu akan menimpa anaknya kerana dia cukup berhati-hati terutama ketika menggunakan eskalator.

“Kami sekeluarga berharap Nasrullah segera sembuh dan saya akan pastikan dia sentiasa di bawah pengawasan,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close