Ular sedang Baham Ayam Disangka Perompak

Kira-kira 40 keluarga penduduk Kampung Sepakat Masai, di sini gempar apabila bunyi bising yang disangka perompak rupa-rupanya seekor ular sawa sedang membaham ayam.

Wakil penduduk, Ismail Talib, 42, berkata, ular sawa seberat lebih kurang 25 kilogram dan sepanjang 14 meter itu sudah empat kali ditangkap sejak awal tahun ini.

ular makan ayam

Menurutnya, ular sawa itu dikatakan datang dari tanah kosong berhampiran yang pada asalnya tapak rumah, tetapi sudah dipenuhi semak-samun sejak setahun lepas.

“Kami pada awalnya menyangka ada orang hendak memecah masuk rumah apabila bunyi ayam dalam reban bising seperti terkejut. “Apabila dihampiri, ruparupanya ia seekor ular sewa yang sedang membelit untuk membaham ayam yang berada di dalam reban salah seorang penduduk kampung,” katanya kepada Sinar Harian.

Ismail berkata, penangkapan buat kali keempat ular sawa itu sejak awal tahun ini menambahkan kebimbangan penduduk terhadap keselamatan terutama kanak-kanak.

Menurutnya, tambahan kawasan perkampungan itu kerap dilanda banjir setiap kali hujan lebat sehingga menambahkan kegusaran penduduk, selagi semak-samun di kawasan berhampiran tidak dibersihkan.

“Kami terlalu bimbangkan keselamatan terutama anak-anak kerana kebanyakan kami bekerja tidak menentu masa.

“Kami telah beberapa kali memberitahu kebimbangan ini kepada pemimpin setempat, tetapi kita tidak pasti apa tindakan yang telah dibuat kerana sehingga kini semak-samun itu masih belum dibersihkan.

“Kita mohon kerjasama pihak bertanggungjawab supaya mengambil tindakan segera membersihkan semak-samun ini kerana kami tidak mahu berlaku kejadian yang tidak diingini selepas ini,” katanya

Facebook Comments

Comments are closed.

Close