Sekeluarga Nahas Kemalangan | Tiga Maut Dari Tujuh Mangsa

Kegembiraan tujuh sekeluarga yang ingin melawat ahli keluarga baru, bertukar tragedi apabila tiga orang daripadanya maut, setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 62, Jalan Kuala Terengganu- Kota Bharu di Chalok Rahmat, Setiu, petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, pemandu kenderaan pelbagai guna Toyota Avanza iaitu Abdul Razak Othman, 49, yang berasal dari Taman Indah Permatang Pauh, Pulau Pinang, meninggal dunia di tempat kejadian .

kemalangan Jalan Kuala Terengganu- Kota Bharu di Chalok Rahmat, Setiu

Turut terkorban, anaknya iaitu Siti Suraya Abdul Razak, 14, dan penumpang di bahagian belakang iaitu Fathilah Othman, 53, yang juga kakak pemandu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam lima petang kelmarin, membabitkan Toyota Avanza yang dipandu Abdul Razak dan kereta jenis Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun.

“Berdasarkan siasatan awal kita dapati, kenderaan jenis Hilux itu melalui selekoh, datang dari arah Kuala Terengganu menuju ke Pasir Puteh bagaimanapun bergesel dengan Toyota Avanza yang datang dari arah Kota Bharu ke Kuala Terengganu.

“Toyota Avanza itu kemudiannya terbabas ke kiri jalan dan mengalami remuk teruk, sehingga menyebabkan tiga beranak itu maut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Katanya, dua ahli keluarga Abdul Razak iaitu isterinya, Siti Fauziah Mohamad Amin, 46, yang juga seorang guru cedera parah dan patah tangan kiri serta cedera di kepala manakala seorang lagi iaitu kakak Abdul Razak, Rosidah Othman, 55, kini masih
mendapatkan rawatan di Hospital Setiu.

Dua lagi anaknya iaitu Siti Raihana Abdul Razak, 12, dan Mohamad Adam Abdul Razak, 16, hanya mengalami cedera ringan.

Pemandu Hilux bersama isteri dan dua anaknya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mereka dilaporkan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan melulu atau membahayakan.

Sementara itu, salah seorang ahli keluarga Abdul Razak iaitu Shairyzal Mohamad Azizan, 30, berkata, keluarga Abdul Razak ada menelefonnya kira-kira jam 4.30 petang, sebelum kejadian berkenaan berlaku.

“Mereka dalam perjalanan ke rumah saya untuk melihat isteri saya, Elmilia Nabila Ishak, 25, yang juga anak saudara Abdul Razak yang baru habis berpantang.

Saya ada menelefon dan Siti Raihana memberitahu bahawa keluarga mereka sudah hampir sampai ke rumah saya di Gong Badak“Bagaimanapun, setelah lama menunggu, mereka tidak juga sampai dan apabila saya telefon kembali, saya dikejutkan dengan berita kemalangan menimpa mereka,” katanya yang masih bersedih dengan kejadian itu.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close