Remaja Berang Tidak Diberi Wang Mengamuk Pukul Ayah

Hanya kerana tidak diberikan wang diminta, seorang anak bukan saja mengamuk merosakkan barangan dalam rumah keluarganya di SS 14, dekat sini, malah membelasah bapanya, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, mangsa berusia 48 tahun berehat di rumahnya sebelum didatangi anak lelaki berusia 22 tahun yang meminta wang.

anak pukul ayah

Gambar hiasan

Sumber berkata, mangsa memberitahu tidak mempunyai wang dan enggan memberikan kepada anaknya menyebabkan suspek naik angin lalu memarahi bapanya.

“Terkejut tindakan anaknya, mangsa menasihatkan suspek bersabar, namun gagal apabila lelaki itu terus mengeluarkan kata-kata kesat sebelum menghempas barangan elektrik dan peralatan rumah.

“Mangsa yang cuba menghalang perbuatan itu turut ditumbuk dan dipukul oleh anaknya walaupun merayu tidak diperlakukan demikian,” katanya.

Menurutnya, akibat tidak tahan dibelasah, mangsa melarikan diri ke rumah jiran menyebabkan suspek merosakkan barang dalam rumah selain menyerang ibunya.

“Mujur jiran cepat menghubungi polis memaklumkan kejadian itu sebelum pihak berkuasa tiba di kediaman mangsa. Bagaimanapun, ketika itu suspek sudah melarikan diri dan polis menasihatkan mangsa membuat laporan. Mangsa yang bimbang kejadian sama berulang membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Tan Ah Chuan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close