Pembantu Kedai Elektrik Didakwa Rogol Gadis Bawah Umur

Seorang pembantu kedai elektrik didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini semalam atas tuduhan merogol seorang remaja bawah umur.

Tertuduh, Mohd Nor Ridzuan Wahab, 25, didakwa merogol seorang gadis berusia 14 tahun di sebuah inap desa di negeri ini, minggu lalu.

Rogol gadis bawah umur di homestay

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas mengangguk faham pertuduhan didakwa ke atasnya di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharuddin.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa merogol gadis berkenaan di dalam bilik sebuah inap desa di belakang sebuah rumah dekat Bukit Lintang, kira-kira 5.30 pagi, 10 Jun lalu.

Mohd Nor Ridzuan dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fairuz Syuhada Amran ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM15,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguambela Ishak Kari memohon wang jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh bekerja sendiri dan perlu menyara ayahnya.

Selepas mendengar rayuan itu, Harmi Thamri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan sebutan semula kes untuk serahan dokumen pada laporan hospital pada 17 Julai depan.

Facebook Comments
Close