Panggilan Misteri Sebelum Kotak Hadiah Meletup

Seorang pemilik sebuah kilang pembuat mi di sini, tidak menyangka panggilan misteri yang diterima malam kelmarin, mengatakan dia bakal menerima hadiah istimewa, membawa petanda buruk kepada isterinya.

Dalam kejadian terbabit, Ng Zheng Siang, 48, dari Taman Angsana Sari, Sungai Petani berkata, sejurus menerima panggilan itu diminta meninjau luar kawasan rumah bagi mendapatkan bungkusan tersebut.

parah kotak hadiah meletup

Bagaimanapun, setelah mencari di luar kawasan rumah tidak ditemui bungkusan hadiah istimewa yang dikatakan pemanggil tidak dikenali itu. Namun, malang tidak diduga ketika Zheng Siang pulang dari pasar kira-kira jam 8.21 pagi semalam, bersama isteri, Ng Ching Fang, 48, yang ternampak sebuah kotak bungkusan yang diletakkan dalam kawasan pagar rumah cuba mendekatinya.

Tanpa mencurigai sebarang petanda buruk, Ching Fang cuba membuka bungkusan itu sebelum terkena letupan kuat yang menyebabkannya cedera parah beberapa bahagian badan.

Isteri seorang pengusaha mi dan koey teow itu kini dirawat di Hospital Sungai Petani. Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Ong Aik Chang berkata, kejadian jam 8.21 pagi semalam itu, mengakibatkan mangsa cedera parah tangan dan perut.

“Selepas meneliti satu bungkusan bersaiz sebesar kotak pensel yang diikat tali, kotak tersebut meletup secara tiba-tiba. “Letupan kuat itu menyebabkan kedua-dua tangan mangsa hancur dan mengalami kecederaan di perut sementara luka di bahagian badan lain masih belum diketahui,” katanya.

Menurutnya, mangsa kini sedang menjalani pembedahan. “Kita juga mendapat maklumat bahawa anak saudara mangsa berusia 10 tahun turut menerima kesan letupan. “Siasatan awal mendapati anaknya mengalami pekak dan kini sedang dirawat,” katanya kepada media.

Menurutnya, siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan berkemungkinan motif kejadian akibat bermusuhan atau lain-lain faktor juga akan disiasat. Beliau turut mengesahkan bahawa pemilik kilang itu ada menerima panggilan supaya mendapatkan ‘sesuatu yang istimewa’ yang dihantar ke rumah sehari sebelum kejadian.

Katanya, pihak polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah mangsa bagi mengenal pasti suspek. Tinjauan Sinar Harian mendapati, cebisan bungkusan yang dihantar dan cebisan daging mangsa turut kelihatan sekitar halaman rumah jiran mangsa.

Maklumat awal mendapati, pergelangan tangan mangsa cedera teruk selain jari terputus manakala bahagian perut parah akibat letupan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close