Nurul & Eric Sah Bergelar Suami Isteri

“Alhamdulillah, apa yang saya impikan bersama Eric akhirnya menjadi kenyataan,” kata penyanyi Nurul Huda Abdul Wahab, 35, sebaik saja sah menjadi isteri Eric Daniel Depp, 47, dalam majlis yang diadakan di Duchess Place, di sini, semalam.

Pasangan itu sah sebagai suami isteri dengan sekali lafaz oleh Eric di depan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian Dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Azizan Othman, jam 12.20 tengah hari berwali abang Nurul sendiri, Mohamad Rizal Abdul Wahab.

nurul dan eric selamat diijabkabul

Nurul berkata, kehadiran Eric mengisi kekosongan hidupnya selepas lebih lima tahun hidup sendirian. “Keikhlasan Eric menerima saya dan anak saya (Ayu Nazirah, 14) sangat-sangat saya syukuri,” kata penyanyi Cinta Azali itu.

Nurul yang anggun dengan persalinan putih dan hitam rekaan Rizman Ruzaini menerima mas kahwin RM80 dan wang hantaran EURO 5,000 (kira-kira RM20,000) serta empat dulang hantaran lagi daripada pengantin lelaki.

Eric pula yang juga perunding kesihatan di sebuah syarikat nutrisi antarabangsa, menerima tujuh dulang hantaran balasan daripada mempelai perempuan termasuk sejadah, senaskah al-Quran dan tepak sirih.

Pada majlis itu, emosi Nurul tersentuh dan dia tidak henti-henti mengalirkan air mata ketika memberikan ucapan kepada 200 tetamu. “Saya terlalu terharu dan bersyukur dengan perkahwinan ini. Maklumlah sepanjang lima tahun bersendirian, saya menempuh pelbagai dugaan secara sendirian sehinggalah Tuhan mempertemukan saya dengan seorang lelaki yang begitu penyayang dan ikhlas. “Eric lelaki yang sangat matang dan menerima diri saya seadanya. Dia juga sangat menghormati semua ahli keluarga saya,” kata Nurul.

Eric yang segak mengenakan sut rekaan Bon Zainal menyifatkan Nurul seorang wanita yang bukan sekadar isteri buatnya sebaliknya sahabat.

“Pertemuan kami terjadi di majlis rumah terbuka hari raya rakan kami, Zahidah Rafik pada September 2010. Sejak mengenali Nurul, saya mulai faham budaya Melayu dan sekarang saya sedang mempelajari bahasa Malaysia,” kata Eric yang ditemani ibu bapanya, Roland dan Germaine Depp.

Turut hadir semalam rakan artis yang rapat dengan Nurul termasuk Zahida Rafik, Ning Baizura, Amy Mastura, Maznah Zulkifli, Jehan Miskin dan guru vokal Siti Hajar Ismail.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close