Mangsa Bom Hadiah Meninggal Dunia

Suri rumah, Tan Chin Fang, 48, mangsa bom buatan sendiri yang meletup sebaik memegang bungkusan ‘hadiah’ itu di depan rumahnya di sini semalam, meninggal dunia pagi ini.

Wanita itu disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini pada 9.15 pagi kerana komplikasi akibat kecederaan parah di tangan dan perut.

mangsa bom bungkusan hadiah

Suaminya, Ng Cheng Siang, 49, berkata Tan dimasukkan ke Hospital Pakar Metro sebelum dipindahkan ke HSAH untuk menjalani pembedahan lebih lima jam.

Beliau berkata sebelum pembedahan, isterinya masih boleh bercakap serta meraung kesakitan tetapi selepas itu, keadaan Tan semakin lemah sehingga tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia.

Pemilik kilang mee itu berkata beliau berada di tingkat atas rumah mereka di Taman Angsana Sari ketika bungkusan bom yang dipegang isterinya meletup.

“Saya bergegas turun ke bawah selepas mendengar letupan dan mendapati isteri dan anak seorang saudara meraung kesakitan,” katanya ketika ditemui di rumah mayat HSAH hari ini.

Sementara itu, Chua Shang Hang, 11, yang terkena serpihan bom, selamat dan dalam keadaan stabil setelah menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Mohd Zakaria Ahmad pula berkata polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun di bandar ini malam tadi bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh.

– Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close