Lindsay Lohan Kemalangan Rempuh Treler

LOS ANGELES: Aktres bermasalah Lindsay Lohan dirawat di hospital kelmarin selepas kereta dipandunya merempuh sebuah treler. Lindsay mengalami cedera ringan, manakala kereta Porsche miliknya remuk teruk di bahagian depan dalam nahas di Lebuh Raya Pacific Coast di barat Los Angeles itu.

Lindsay, 25, menjalani rawatan selama dua jam kerana mengalami luka kecil dan lebam. Seorang pembantu aktres berkenaan turut berada dalam kereta itu ketika nahas berlaku.

“Sebuah Porsche hitam merempuh treler 18 roda di Lebuh Raya Pacific Coast,” kata jurucakap Jabatan Polis Santa Monica, Richard Lewis.

Bagaimanapun, polis berkata, tiada bukti menunjukkan Lindsay dipengaruhi alkohol atau minuman keras ketika kemalangan berlaku, tidak seperti insiden pada 2007 ketika dia didapati positif memandu di bawah pengaruh alkohol dan kokain. Jurucakap Lindsay berkata, aktres itu dalam perjalanan ke set penggambaran ketika nahas berlaku dan dia dikejarkan ke hospital, tetapi kemudian dibenarkan pulang selepas menerima rawatan selama dua jam. “Semuanya baik-baik saja. Selepas rawatan di hospital, Lindsay terus menuju ke lokasi penggambaran “Liz and Dick” kata jurucakapnya, Sophie Goodale kepada media.

– AFP

Facebook Comments
Close