Lelaki Baru Selesai Ambil Lesen Memandu Parah Kemalangan

Seorang lelaki cedera parah di bahagian kaki selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di kilometer 15.5, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5.15 petang itu, mangsa, Mahadzir Yasin, 33, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah adiknya di Kampung Seberang Batu Hampar selepas mengambil lesen memandu di Senawang.

kemalangan di pedas 19 jun

Pemandu lori yang ingin dikenali sebagai Naza, 37, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Pedas ke Seremban selepas menghantar perabot dan terkejut sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal dari arah bertentangan memasuki laluannya.

“Pada masa itu, mangsa cuba memotong sebuah kenderaan lain dan menyebabkan berlaku perlanggaran di bahagian depan sebelah kanan lori. Saya cuba mengelak, namun motosikal berkenaan terlalu hampir dengan lori saya.

“Bagaimanapun, susulan brek mengejut, lori saya berpusing merintangi jalan dan mujurlah saya tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun masih berada dalam keadaan terkejut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, petang kelmarin.

Naza berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan dia juga nampak dengan jelas mangsa tercampak ke bahu jalan sejauh kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian bersama dengan motosikalnya.

Sementara itu, jurucakap polis pula berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu dan mangsa yang cedera parah di kaki dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban untuk rawatan lanjut.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close