Kes Koperal Mustaghni | Seorang Anggota Polis Trafik Ditahan

Polis menahan reman seorang anggota polis trafik berusia 51 tahun mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk membantu siasatan kes kematian Koperal Mustaghni Tabri, 48, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, anggota trafik yang direman itu berpangkat koperal yang disyaki membaling satu objek ke arah mangsa.

polis trafik ditahan kes Koperal Mustaghni Tabri

Arwah Mustaghni terbabit dalam insiden itu ketika bertugas dalam operasi mencegah lumba haram di Lorong Bunga Raya berhampiran Kampung Raja Uda di sini, jam 1.45 pagi, Ahad lalu.

“Dia direman bermula hari ini (semalam) sehingga Khamis bagi membantu siasatan berhubung kes.

“Empat lagi anggota yang ditahan bersamanya kelmarin dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad di sini, semalam.

Ditanya berhubung perkembangan siasatan terhadap beberapa objek yang dirampas polis dari lokasi kejadian, Mohamad berkata, semua objek terbabit akan dihantar ke Jabatan Kimia, esok.

“Kita belum boleh dedahkan apa-apa maklumat berhubung objek itu selagi laporan siasatan mengenainya belum selesai.” katanya.

Kelmarin, lima anggota polis ditahan jam 4 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Lima anggota polis berusia 45 hingga 51 tahun itu ditahan selepas siasatan terkini mendapati kecederaan parah Koperal Mustaghni sehingga membawa kematiannya berpunca daripada lontaran objek seorang daripada anggota polis terbabit dan bukan akibat libasan topi keledar mat rempit sebagaimana dinyatakan sebelum ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, dipetik berkata, punca sebenar kematian mangsa masih disiasat, namun kecederaan disahkan bukan kerana dipukul dengan topi keledar tetapi akibat terkena lontaran objek keras.

“Siasatan dijalankan menjurus pelbagai aspek bagi membongkar kejadian sebenar, termasuk kemungkinan ia dilakukan untuk mempertahankan diri atau terkena pada mangsa.

“Kami merampas beberapa objek yang dipercayai boleh membantu siasatan dan harap tiada pihak yang membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai,” katanya, semalam.

Facebook Comments
Close