Kanak-kanak Maut Renjatan elektrik | Bapa Mahu Saman

Bapa kanak-kanak yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika bermain dalam takungan air di depan rumahnya di Kampung Gedung Lalang, Bukit Rambai, dekat sini, kelmarin, bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkaitan.

Massari Muhammad, 35, berkata, tindakan itu dibuat selepas hasil laporan bedah siasat terhadap jenazah anak keempatnya, Mariam Najwa, 8, mendapati mangsa maut akibat kejutan elektrik.

bapa mahu saman tnb melaka

Imbas kembali | Tempat yang meragut nyawa Mariam Najwa

Menurutnya, tindakan itu sebagai pengajaran kepada pihak terbabit yang didakwa cuai menyebabkan satu-satunya anak perempuannya maut.

“Laporan bedah siasat di Hospital Melaka petang semalam (kelmarin) menyatakan Mariam maut akibat kejutan elektrik.

“Saya akan melantik peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak bertanggungjawab sejurus selepas semua perkara berhubung insiden itu selesai,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, dia kesal dengan kecuaian pihak terbabit hingga meragut nyawa anak perempuan tunggalnya.

Menurutnya, dia dimaklumkan jiran bahawa pihak bertanggungjawab datang ke lokasi sejurus selepas insiden bagi menggantikan kabel elektrik pada tiang berkenaan.

“Saya tidak tahu kenapa mereka segera menggantikan kabel pada tiang itu, malah pagi tadi (semalam) saya dimaklumkan isteri, pegawai syarikat itu berkunjung ke rumah kami.

“Namun, saya kesal apabila dimaklumkan mereka seolah-olah menafikan kemalangan itu berpunca akibat kesilapan dan kecuaian mereka,” katanya.

Massari berkata, anak ketiganya, Muiz Asyraf, 3, yang nyaris menjadi mangsa kini masih trauma apabila melihat lopak air dan takut ke lokasi yang meragut nyawa kakaknya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close