Kaki Enot Bengkak Gara-gara Berat Badan Berlebihan

Faktor berat badan berlebihan sehingga mencecah 113 kilogram menyebabkan kaki kiri pelakon Enot menjadi bengkak selain menyebabkan dia sukar untuk berdiri lama.

Enot,34, berkata, kejadian itu berlaku pada Jumaat lalu ketika dia bersama pelakon Didie Alias berada di Taiping, Perak bagi menjayakan sebuah acara hiburan.

enot

“Saya bukannya terlibat dengan kemalangan tetapi kaki ini membengkak kerana saya berdiri terlalu lama. Kaki saya sukar untuk menampung keadaan badan saya yang besar ini menyebabkan ia menjadi bengkak,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Isnin.

Tambah Enot, berat badan itu bagaimanapun tidak pernah menggagu kerjayanya malah menganggap ia merupakan satu rezeki untuk dia dalam bidang lakonan.

Malah keadaan fizikalnya itu juga tidak membebankan diri untuk ke lokasi penggambaran dan melunaskan tanggungjawab walaupun kadang-kala cepat berasa penat.

“Alhamdulillahlah saya tidak pernah mengalami masalah dengan saiz badan saya untuk mendapatkan tawaran berlakon dan berbangga dengan keadaan diri saya selagi ia tidak menyusahkan orang lain,” ujarnya.

Bagaimanapun kata Enot, itu tidak bererti dia boleh mengabaikan kesihatan diri dan memberitahu sedang berusaha mengurangkan berat badannya itu.

“Saya menghidap pelbagai penyakit seperti darah tinggi, sakit jantung, batu karang dan sakit kepala. Saya perlu menjaga pemakanan supaya penyakit-penyakit ini dapat dikawal.

“Sebelum ini berat badan pernah mencecah 126 kilogram dan kini turun menjadi 113 kilogram. Nak kata saya kawal pemakanan tu tidak la sangat tetapi saya lebih selektif dengan pemilihan makanan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Enot memberitahu dia bakal kembali sibuk di lokasi penggambaran beberapa buah drama dan program hiburan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti selain menumpukan perhatian kepada perniagaan kek yang diusahakannya.

Facebook Comments
Close