Kakak Angkat Hasut Remaja Lari Rumah

Siti Hajar Mohd Sharom, 17, remaja yang menghilangkan diri dari rumah keluarganya di Taman Kota Masai, di sini, 22 Mei lalu, mengakui berbuat demikian kerana terpengaruh dengan pujukan seorang kakak angkat supaya hidup berjauhan daripada keluarga kononnya untuk berdikari.

Bapanya, Mohd Sharom Ismail, 53, berkata, Hajar yang dikesan berada di Batu Pahat pada Isnin lalu sebelum dijemput pulang memaklumkan, dia mengikut seorang wanita dikenali sebagai Sherry, berusia 30-an ke Melaka untuk bekerja.

lari rumah kerana dihasut kakak angkat

Menurut Sharom, sepanjang 18 hari menghilangkan diri, Hajar bekerja di sebuah kedai kain di Melaka.

“Walaupun Hajar sudah ditemui, namun kami tidak puas hati dengan tindakan Sherry yang sanggup meracuni fikiran anak supaya meninggalkan keluarga semata-mata mengajar hidup berdikari sedangkan dia baru berusia 17 tahun.

“Sherry juga meninggalkan Hajar berseorangan berhampiran pusat perubatan di Batu Pahat selepas kisahnya dipaparkan di media, Isnin lalu,” katanya, semalam.

Menurut Sharom, dia puas menghubungi Sherry namun wanita terbabit mematikan telefon bimbit.

Sharom berkata, keluarganya yakin Sherry mempunyai niat buruk kerana turut memujuk Siti tinggal di bilik sewa di Melaka.

“Kami tidak mengenali Sherry dan Hajar berkenalan dengannya menerusi seorang rakannya. Kami juga mahu melaporkan tindakan Sherry kepada polis kerana bimbang dia akan melakukan perkara sama terhadap remaja lain.

“Selepas dibawa pulang ke rumah, Hajar dalam keadaan baik dan berjanji tidak mengulangi perkara sama. Dia menceritakan perkara sebenar dan kami memaafkannya,” katanya.

Sharom turut berterima kasih kepada orang ramai yang memberi sokongan serta perangsang kepada keluarganya ketika melalui detik berkenaan.

Isnin lalu, Hajar dilapor menghilangkan diri dari rumah dan tidak menghubungi keluarga selama 18 hari. Dalam kejadian itu, Hajar yang juga anak kelima daripada tujuh beradik keluar rumah bersama adik perempuannya, Shafiqah, 11, untuk bermain basikal di taman permainan kanak-kanak berhampiran kediaman mereka.

Hajar menghilangkan diri sebelum ditemui berseorangan berhampiran pusat perubatan di Batu Pahat.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close