Guru Luka Teruk Cuba Lerai Pergaduhan Samseng Sekolah

Sekumpulan lebih 40 remaja bersenjatakan kayu, batang besi, cota dan topi keledar bertindak samseng ketika menyerang 30 pelajar sebuah sekolah menengah di sini, yang keluar melalui pintu pagar selepas selesai waktu persekolahan, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, lebih 10 pelajar cedera manakala seorang guru kanan sekolah itu luka teruk di kepala akibat dibaling dengan topi keledar ketika cuba meleraikan pergaduhan terbabit selain dua motosikal rosak teruk.

gaduh disekolah

Kejadian dipercayai berlaku akibat salah faham antara kumpulan remaja samseng terdiri daripada bekas pelajar sekolah berkenaan yang dibuang sekolah bersama kumpulan rakan dewasa mereka dengan beberapa pelajar sekolah itu.

Saksi kejadian yang juga pekerja sekolah berkenaan berkata, pergaduhan itu berlaku sebaik sesi pagi persekolahan tamat dan pelajar keluar dari perkarangan sekolah sebelum diserang kumpulan remaja samseng yang menunggu mereka di luar pagar.

“Sebaik beberapa pelajar yang dipercayai menjadi sasaran kumpulan terbabit keluar dari pintu pagar, semua remaja yang berkumpul di luar itu menyerang mereka menggunakan senjata.

“Keadaan semakin kecoh dan ganas apabila puluhan pelajar lain yang berada di kawasan sekolah keluar membantu rakan mereka yang diserang,” katanya yang ditemui di tempat kejadian, semalam.

Katanya, kejadian itu dimaklumkan kepada seorang guru kanan sekolah yang kemudian cuba meleraikan pergaduhan dengan menarik pelajar masuk semula ke kawasan sekolah.

“Guru itu cuba meleraikan pergaduhan dan menarik beberapa pelajar yang membelasah seorang daripada kumpulan terbabit.

“Ketika dia (guru) ingin membantu seorang remaja samseng yang terbaring atas jalan akibat dibelasah teruk, tiba-tiba seorang daripada kumpulan yang bergaduh itu membaling topi keledar dengan kuat ke arah guru berkenaan hingga terkena kepalanya,” katanya.

Menurutnya, kumpulan remaja yang melakukan serangan itu bertempiaran lari selepas beberapa anggota polis bermotosikal menuju tempat kejadian dan guru serta beberapa pelajar yang cedera dihantar ke hospital berhampiran.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close