Dua Wanita Bawa Bayi Mencuri Di Majlis Kahwin

Tindakan dua wanita licik yang membawa seorang bayi perempuan dan menyamar sebagai kenalan pengantin, sebelum mencuri barangan berharga milik pengantin dalam sebuah majlis kenduri perkahwinan di Kampung Sungai Limau Dalam, kelmarin, membawa padah apabila mereka berjaya ditangkap.

Ibu pengantin, Norlia Ismail, 51, berkata, dua wanita itu membawa seorang bayi perempuan hadir ke majlis perkahwinan anaknya, Marnizal Che Omar, 31, dan menyamar sebagai rakan kepada Marnizal berpura-pura mahu menggunakan tandas semasa majlis berlangsung kira-kira jam 2.30 petang.

Menurutnya, dia kemudiannya menyuruh dua wanita itu masuk ke dalam rumah untuk ke tandas tanpa menyangka niat sebenar wanita berkenaan.

“Pada mulanya saya tertanya-tanya siapa dua wanita itu kerana kami tidak mengenali mereka namun, tidak mengendahkannya kerana memikirkan mungkin mereka rakan kepada anak saya.

“Namun saya terkejut apabila Marnizal sendiri berjaya memerangkap mereka kerana menyedari kehilangan barangan berharga selepas seorang wanita itu masuk ke dalam biliknya,” katanya.

Menceritakan mengenai perihal dua wanita itu, adik Marnizal, Fajar Nurfitria, 24, berkata, ketika majlis kenduri perkahwinan itu berlangsung, dia berada di dalam rumah dan menyedari kehadiran dua wanita dan seorang bayi yang berkelakuan mencurigakan.

Katanya, dua wanita itu berlegar-legar dalam rumah dan memintanya untuk menggunakan satu bilik di rumah untuk berehat kerana mendakwa mereka letih.

“Seorang wanita itu masuk ke dalam bilik saya dan mencuri dompet saya serta telefon seorang ahli keluarga kami namun, saya masih tidak menyedarinya.

“Setelah hampir dua jam berada dalam rumah, wanita itu kemudiannya minta untuk masuk ke dalam bilik pengantin dan meminta pengantin keluar dari bilik kerana dakwanya dia ingin menukar tuala wanita,” katanya.

Fajar Nurfitria berkata, wanita itu kemudiannya keluar dari bilik pengantin setelah berada di dalam bilik itu selama 20 minit, dan bergegas mendapatkan seorang rakannya yang mengendong bayi yang tunggu di luar bilik dan terus keluar dari rumah mereka menuju ke kereta.

Menurutnya, abangnya (Marnizal) kemudiannya masuk ke dalam bilik dan mendapati almari pakaian sedikit terbuka dan mendapati barangan dalam almari itu diselongkar.

“Abang kemudiannya bergegas mendapatkan dua wanita itu dan menahan mereka setelah mendapati banyak barang berharga milik kami sekeluarga ada di dalam beg tangan wanita berkenaan­,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu ketika dihubungi mengesahkan laporan dan kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam rumah kediaman.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close