Bapa & Anak Maut Dirempuh Kenderaan Lelaki Mabuk

Memilukan apabila seorang bapa dan anak bongsunya yang baru selesai makan di sebuah kedai makan di Jalan Bandar Lama, di sini, dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda sehingga tercampak sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Gua Musang (HGM) akibat cedera parah di kepala dan badan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.40 malam, Mustapa Husin, 51, berada di atas motosikal dan sedang memakaikan topi keledar anak bongsunya, Nor Natasha, 9, sebelum dirempuh pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah Bandar Baru, di sini, dipercayai dipandu seorang lelaki mabuk.

NOR NATASHA...putus tangan kanan

NOR NATASHA…putus tangan kanan

Lebih memilukan, Nor Natasha bukan saja tercampak, tetapi pada masa sama putus tangan kanan akibat kemalangan itu.

Pemandu kenderaan itu yang berusia 38 tahun melarikan diri dengan memecut kenderaannya selepas melanggar dua beranak terbabit, tetapi berjaya dicekup anggota polis ketika dalam perjalanan ke Kampung Pulai, di sini.

MUSTAPA...maut

MUSTAPA…maut

Difahamkan, sebelum kejadian, pemandu itu turut merempuh tiga kenderaan lain yang diletakkan di tepi jalan berhampiran Jalan Bandar Lama dan melarikan diri, menyebabkan orang ramai menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Gua Musang untuk mengesannya.

Jenazah dua beranak yang menetap di Kampung Rahmat, di sini, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembaga, petang semalam.

Isteri Mustapa, Zainun Mohd Nor, 47, berkata, sebelum ini suaminya tidak pernah membawa Nor Natasha keluar makan berdua bersamanya, tetapi pada malam sebelum kejadian suaminya beria-ia mahu membawa anak bongsu daripada lapan beradik itu.

Katanya, dua minggu sebelum kejadian, suaminya tidak semena-mena berpesan supaya menjaga semua anaknya dengan baik dan mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan jika dia meninggal dunia.

“Saya tidak terlalu memikirkan perubahan suami dan menganggapnya biasa saja. Bagaimanapun, tak sangka perubahan itu rupa-rupanya petanda saya akan kehilangan suami dan anak.

“Saya reda dengan apa yang berlaku kerana ia takdir Ilahi,” katanya sebak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan mengenai menerima laporan kejadian itu dan siasatan dijalankan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close