Anjing & Babi Berkeliaran Dalam Surau

“Anjing dan babi pernah masuk ke dalam surau ketika penduduk sedang solat berjemaah hingga menyebabkan jemaah kurang selesa,” kata Tok Batin Sungai Temetong, Jalil Badrillah.

Beliau berkata, anjing dan babi kerap berkeliaran menyebabkan tempat beribadah itu tercemar hingga menyukarkan penduduk melakukan solat berjemaah.

Sehubungan itu katanya, pihak berkenaan diharap dapat menyegerakan pembinaan tembok batu, atau pagar surau tersebut untuk mengatasi masalah terbabit.

“Surau ini dibina sejak lebih 10 tahun lalu, dan digunakan seramai 400 penduduk Orang Asli beragama Islam untuk menjalankan aktiviti keagamaan.

“Keadaan pagar yang rosak menyebabkan haiwan seperti anjing dan babi kerap berkeliaran, malah pernah masuk ke dalam surau ketika jemaah sedang bersolat,” katanya.

Jalil berkata, pemasangan pagar dawai pernah dilakukan beberapa tahun lalu, namun pagar tersebut dirosakkan haiwan berkeliaran.

Di samping itu katanya, pihak berwajib diharap dapat melakukan pengubahsuaian pada surau itu dengan menjadikannya satu tingkat sahaja.

“Kini kebanyakan penduduk mencecah usia emas dan tidak mampu lagi menggunakan tangga. Sehubungan itu, saya harap pihak berwajib dapat membina tembok batu dan dalam masa sama melakukan pengubahsuaian pada surau ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman berkata, pihaknya akan cuba memohon peruntukan untuk membaik pulih dan membina pagar surau Kampung Temetong.

“Kita akan cuba menyegerakan pembinaan pagar untuk memberi keselesaan kepada penduduk dalam melakukan solat berjemaah dan aktiviti keagamaan lain.

“Kita juga akan mengkaji kos diperlukan untuk membina pagar besi di kawasan itu berserta beberapa masalah sampingan lain,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close